May 8, 2011

Rezeki Ganda Dua

Jam 5.30 pagi di Munich. Di luar, fajar sudah hampir habis.

Kami baru sahaja turun dari keretapi selepas tidur-tidur ayam dalam koc. Sejak jam 3 petang, kami bertolak dari Brugge dan melintasi sempadan Jerman, Aachen bagi ke Munchen, dengan dua kali bertukar tren.

Buat kesekian kalinya, kami menarik kot ke tubuh. Kasihan sahabat saya, badannya benar-benar kalah kepada cuaca sejuk di sini. Beliau berpakaian lebih tebal berbanding kami. Namun, orang di sini tetap boleh berseluar pendek!

Perut berkeroncong minta diisi, apatah lagi, kami mengalas perut dengan secawan besar minuman coklat sahaja di Brugge. Sekali sekala, kami menjamah biskut atau air mineral dalam bekalan. Jadi, misi pertama pagi itu adalah mencari makanan panas (dan sedap).

Berbekalkan panduan daripada Zabiha, kami berjalan mencari restoran Turki bernama Istanbul. Daripada reviu, makanannya nampak sedap dengan harga mampu bayar. Selepas berpusing-pusing, akhirnya kami bertemu kedai dicari. Sayangnya, pintunya ditutup pula! Ia hanya akan dibuka jam 2 petang nanti.

Bermulalah misi mencari sekali lagi. Alhamdulillah, rezeki kami baik hari itu. Ada kedai Turki kecil yang sudah dibuka. Kami bergegas masuk. Di dalam, dua pekerja sibuk menyusun makanan. Seorang lagi sedang menyapu lantai.

Dengan bahasa ayam itik, kami memesan makanan. Nasi Turki dan lauknya ayam atau daging yang menjadi pilihan, walaupun rotinya juga tampak sedap. Muka masing-masing ceria seperti tidak berjumpa nasi setahun!

Habis sahaja doa makan, kami menyuap makanan dengan laju. Sedikit pelik rasa makanan Turki ini, namun, masih sedap. Apa tidaknya, ada yogurt sebagai sos dalam nasi. Tanpa disangka, roti yang dihulurkan awal tadi, adalah percuma buat kami. Alhamdulillah! Kami sudah ada bekal makanan tengahari.

Satu lagi kejutan selepas itu, saat saya memesan Teh Turki. Percuma juga. Alhamdulillah.

Dalam hati saya, pasti muka kami terlebih-lebih ceria semasa melihat makanan pada awal tadi.

Apa pun, semoga kedai itu bertambah-tambah rezekinya. Amin!

Waida Yusof,
7 Mei 2011,
Munchen, Jerman.
BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

No comments:

Post a Comment