Jun 13, 2014

#AFCC2014 - Kunci Utama Cerita adalah Karakter

Saya baru sahaja pulang dari Asian Festival of Children's Content (AFCC) yang berlangsung di Singapura dari 30 Mei ke 4 Jun 2014. Beberapa posting di bawah #AFCC adalah catatan ringkas saya sepanjang AFCC berlangsung. 

#Siri Kuliah Ringkas AFCC 2014

Kredit Foto: Sg.Kidlander.com

Topik: Magical Children: The Key to Story
Pengucap: Sally Gardner (Penulis buku "The Vanishing of Billy Buckle" dan lain-lain)

Ini kali pertama saya melihat seorang pengucap menaiki pentas dengan berkaca mata hitam. Kata beliau, "Maafkan saya. Ada tragedi dengan mata saya."


Antara buku Sally Gardner yang dijadikan kes kajian dalam ucapannya

Comel betul cikpuan Sally Gardner ini. Melihat beliau sahaja, saya faham bagaimana karakter watak dalam buku beliau kuat-kuat belaka.

Esensi perkongsian beliau:-

  • Beliau akan mencipta watak utama dengan 1 kuasa magis sahaja. Namun, ia tetap istimewa kerana watak-watak lain dalam buku itu tiada kuasa magis.
  • Tulis dengan ayat yang ringkas-ringkas sahaja yang sesuai buat kanak-kanak disleksik.
  • Andai ada juga perkataan panjang, ulang perkataan itu 3 kali dalam bab itu. Selepas itu, biarkan perkataan panjang itu seketika. Kemudian, munculkan semula perkataan itu selepas beberapa bab. Bagus sebagai 'trigger point' kepada kanak-kanak.
  • Bayangkan diri kita sendiri dengan saiz watak semasa menulis.
  • Ada perkara yang penting kepada orang dewasa tidak penting kepada kanak-kanak.
  • Perspektif akan berubah apabila watak kita berusia.
  • Tahu usia pembaca buku kita
  • Bercerita, bukan sekadar menuliskannya. Elakkan tulis begini "Ada dua tiang di dalam bilik itu.",
    sebaliknya kita ceritakan bagaimana dua tiang itu memberi impak kepada bilik. 

Dan, akhir sekali, saya pula suka kata-kata beliau yang ini, iaitu, "Tulis sahaja dari hati dan itu akan menjadi perkara paling besar dalam dunia ini."


Waida Yusof,
13 Jun 2014
KL

Jun 6, 2014

#AFCC2014 - Desain Ilustrasi dan Buku

Saya baru sahaja pulang dari Asian Festival of Children's Content (AFCC) yang berlangsung di Singapura dari 30 Mei ke 4 Jun 2014. Beberapa posting berikut adalah catatan ringkas saya sepanjang AFCC berlangsung. 

#Siri Kuliah Ringkas AFCC 2014

Kredit Foto: Sg.Kidlander.com

Topik: Illustration and Book Design
Panel: Frane Lessac (Ilustrator dari Australia), Dr. Junko Yokota (Profesor Emeritus di Universiti National- Louis, Chicago, Amerika serta Presiden Juri di Pertandingan Ilustrasi Antarabangsa Pulau Nami 2013), Mariko Takagi (Desainer & Penulis)

Antara isi penting dalam aspek mendesain ilustrasi dan buku dari ketiga-tiga panel adalah :-

#1 - Content + Typography + Illustration 

Seni desain buku terbaik terjadi apabila tiga elemen ini digabungkan, iaitu isi (cerita), tipografi (seni tulisan) dan ilustrasi.


#2 - "Kiri ke Kanan"

Apa sahaja yang penting, baik teks atau gambar, letakkan di sebelah kiri.

(Tips ini terpakai bagi format buku dari kiri ke kanan.)


#3 - "Yomaseru" dahulu, baru "Miseru"

Yomaseru adalah 'memberi peluang pembaca membaca' manakala Miseru pula adalah 'menunjukkan'.

Maka, sentiasa mulakan dengan yomaseru disusuli pula dengan miseru.


Jika mengikut pemahaman saya, BBKK "I Want My Hat Back" oleh Jon Klassen ini mengaplikasikan semua konsep ini.

Kredit Foto: Teresa Murfin

1) Gambar ini lebih penting, jadi diletakkan di sebelah kiri.
2) Seni tipografi - Teks dibuat berselang-seli merah bagi membezakan dialog daripada watak berbeza.
3) Beri peluang pembaca 'membaca' gambar, kemudian baru 'menunjukkan' dialog menyokong gambar.

Waida Yusof,
6 Jun 2014
KL