Apr 21, 2012

Travelog Eropah 11: Tiga Lelaki Muslim Itu

Saya cenderung sependapat dengan Aleah.

Perjalanan itu memberi makna dengan siapa kita berjumpa dan berpisah sepanjang perjalanan itu.

Ia juga mengingatkan saya kepada tiga lelaki Muslim yang kami temui di Brugge, Belanda. Ketika itu, saya, Shawn dan Fidah berkelana di Eropah selama dua minggu.


Berbasikal di atas batu bundar ini ada cabarannya tersendiri!

Lelaki Muslim Pertama


Diambil daripada laman webnya - www.brugesbikerental.be

Jujurnya, namanya saya lupa. (Memang itulah kelemahan saya). Dia mengusahakan kedai sewa basikal di Brugge. Tergerak hati kami ke sini sebaik melihat harga sewanya yang murah. Harga sewaan 10 Euro sehari itu masih dikira murah berbanding kedai-kedai lain.

Takdir Tuhan jugalah menemukan kami dengan dia, lelaki dari Palestin ini. Terfikir juga saya ketika bertemu dia, apakah dia sudah lama menetap di sini, atau "melarikan" diri ketika di sana dirundung malang?

Lelaki Muslim Kedua

Entah mengapa, saya mengingati nama lelaki pendiam ini. Mungkin kerana dia bersungguh-sungguh membaiki rantai basikal yang saya sewa. Entah berapa kali cubaannya, sebelum akhirnya, saya mendapat basikal lain sahaja.

Namanya Muhammad dan berketurunan Afrika. Sebenarnya, daripada dialah, saya tahu, rakannya (Lelaki Muslim Pertama) itu juga muslim. Dia rakan seusaha lelaki muslim pertama saya temui itu. Mereka berdua sama-sama mengusahakan kedai basikal itu.

Dan, pertemuan kami dengan kedua-dua lelaki muslim ini membawa kami kepada Lelaki Muslim Ketiga.

Lelaki Muslim Ketiga


Lelaki ini dan keluarganya berasal dari Mesir.

Masih terbayang-bayang di kepala saya, bagaimana dia bercerita kepada kami, "Isteri saya di atas bersama anak-anak. Saya tukang masak dan juga pelayan di sini," sambil tersenyum.


Lelaki itu di belakang kaunter.

Dia mengusahakan sebuah restoran bercirikan Mesir dan halal di Brugge. Taip sahaja "Academiestraat 6, Brugge, Belgium" di Google Maps.

Syukur kepada Tuhan, sedap makanannya berbanding semangkuk Maggi dan sup Campbell yang kami jamah malam sebelumnya. Asalkan ada yang halal dan harganya mampu milik, kami sudah bersyukur.

 
Secawan teh lemon hangat manakan sama rasanya dengan semangkuk Maggi.

Waida Yusof,
April 2012