Aug 17, 2011

Travelog Eropah 5: Amsterdaam, Belanda Bahagian 1

Ya, Travelog 4 nya belum ada, sudah ditulis Travelog 5. Hati kepingin mahu menuliskan kisah ini bertepatan dengan status FB pagi tadi. Maka, saya menulis travelog ini gaya KJ metod, dengan kisah Amsterdam dahulu. 


Kisah ini tidak mengikut turutan. Saya petik sahaja kisah-kisah menarik sepanjang berada di Amsterdam 3 Mei 2011 - 4 Mei 2011.



3 Mei 2011 - 4 Mei 2011

Sayang sekali, bumi Amsterdaam (ejaannya sebenar) di Belanda ini sekejap sahaja kami injak. Alasan kami? Ini lokasi mahal, maka, cukup sahajalah semalaman kami di sini. 

Jam 10 pagi tiba di Amsterdaam Centraal, stesen keretapi utama di bandar ini. Perjalanan keretapi bermula daripada Hoek Van Holland (Hook of Holland) sekitar jam 7.30 pagi. 

Shelter Jordaan

Namun, satu malam itu tetap paling mengesankan, walau ia sekejap. Bukan tempat-tempat lawatan Amsterdam yang saya rindui, tetapi sebuah rumah tumpangan bernama Shelter Jordaan, di daerah Jordaan.

Kami tiba di Shelter Jordaan selepas hampir 1 jam bertanya orang. Kusut juga mencarinya kerana arahan diberi mengelirukan. Tambahan pula, perlu menarik bagasi baju (Bayangkan: Bunyinya bergema-gema ke serata alam kerana melanggar jalan berturap blok-blok batu). 

Alamat di sini istimewa kerana ia mengikut nama-nama terusan. Shelter Jordaan ini terletak di daerah Jordaan, berhampiran terusan Prinsengracht (maksudnya Terusan Putera).

Ber"Internet" di kafe hostel dan menghubungi keluarga dengan Skype.


Ruang kafe merangkap ruang santai.

Mengada-ngada memesan air coklat panas di sini. Secawan berharga EU1.20 (Sebut: 1 euro 20 sen) bersamaan RM4.80.
Rumah ini jujurnya sebuah rumah tumpangan orang Kristian yang alim. Mengapa pula kami menumpang tidur di situ?

Yohan, penyambut tetamu di Shelter Jordaan. 
Ia satu-satunya tempat diyakini selamat daripada bahaya dadah, arak, gejala pemabuk dan berparti-parti.

Alhamdulillah juga, Tuhan melorongkan kami memilih hostel ini. Apatah lagi, melihat penuhnya serpihan kaca botol-botol arak di tepi-tepi jalan (baca: terusan). Malahan, sampah itu, lebih banyak daripada sampah sarap sebenar!

Mereka bukan sekadar mengatakan dadah dan arak dilarang. Ia juga didesain khusus. Tempat tidur lelaki dan perempuan langsung berbeza.Tingkat pertama khusus untuk perempuan. Tingkat kedua pula khusus untuk lelaki. Ternyata, pemiliknya berfikir panjang hal ini.

Ketika kami mendaftar masuk, sedikit merisaukan bagaimana penerimaan mereka kepada orang Islam (Mungkin mereka tahu kerana kami bertudung. Mungkin juga tidak). Namun, mereka profesional dan melayan kami sebaiknya. 


Berbual-bual destinasi seterusnya dengan dua wanita ini. Mereka bertugas di kafe ketika kami makan pagi.
Saya katakan mereka alim kerana setiap jam 7 ada sesi perkongsian daripada Bible. Lantas, saya terbayang bagusnya jika ada rumah tumpangan muslim, dan ada sesi berkongsi tentang keindahan Islam. Terbuka kepada semua orang dan percuma.

Minuman panas dan sejuk.
Rumah tumpangan ini ada "roh" tersendiri. Jika mereka memperjuangkan supaya kembali mengamalkan ajaran kristian sebenar, bukankah baik ada rumah tumpangan muslim yang menjadi pusat menarik orang melihat keindahan Islam juga?

Ada pula iklan menawarkan kemudahan tidur percuma asalkan menyumbang tenaga kepada rumah ini. Situasi menang-menang kepada pengembara yang mahu menjimatkan duit. 

Walau semuanya bersifat spiritual, bisnes tetap bisnes. Semuanya berbayar dalam rumah tumpangan ini. Ada mesin minuman air tin dan makanan ringan. 

Poskad dan setem ada dijual di sini
Ada mesin membancuh air panas di kafe. Hulur sahaja duitnya, semua jalan. 

Mahukan poskad dan setem? Ada juga (malahan, boleh poskannya terus di situ). 

Tidak sempat membeli souvenir daripada Belanda? Beli sahaja di situ. Lebih murah. 

Saya suka! 

Lantaran itu, saya pun berangan-angan, indahnya mempunyai rumah tumpangan muslim sebegini. Ada sesi solat berjemaah setiap waktu (berfungsi juga sebagai masjid setempat). Ada sesi perkongsian Islam satu jam setiap petang. 

Namun, ia tetap tempat kool bagi semua pengembara berkumpul (dan tidur), tidak kisah dia muslim atau tidak. 

Amin!

PS: Di luar hostel ini jugalah, tempat saya terjatuh sehingga kaki terseliuh. Makanya, saya mengembara ke Eropah selama 2 minggu dengan kaki sedikit ter"seksa" :)

Waida Yusof, 17 Ogos 2011


Keluar sahaja daripada pintu biru itu, saya terjatuh. 15 minit sebelum itu, ibu baru sahaja berpesan meminta saya berhati-hati. Cemerkap betul!

Aug 4, 2011

Travelog Eropah 3: Pagi di London

2 Mei 2011, London, Pagi.

"Shawn, saya masih tidak percaya kita sudah sampai di sini...." Kata-kata itu saya ulang-ulang kepada rakan baik sebaik kami keluar ke aerobridge menuju Terminal Antarabangsa Heathrow, London.

Heathrow sibuk tetapi tenang. Tiada tanda-tanda ketegasan Heathrow kelihatan, walau kepala menjeling ke sana sini. Teringat pula kisah rakan sepejabat mengelak mendarat di Heathrow, walaupun mahu ke Scotland. Katanya, "Heathrow terkenal dengan pelbagai pantang larang!"

Walau apapun, yang penting, biskut dan sambal ikan bilis kami selamat!

Namun, sempat pula staf Heathrow menegur Shawn bagi menjawab soal selidik lapangan terbang ini.

Langsung tube dinaiki bersama bagasi besar dari stesen Heathrow. Lengang dan tiada orang. 2 Mei itu Bank Holiday, cuti gantian sempena cuti Hari Buruh 1 Mei.


Tube dari Hammersmith lengang kerana masih awal pagi. Gambar diambil sekitar jam 8.30 pagi.

Kata Shawn, "Apabila orang Barat bercuti, memang bersungguh-sungguh. Cuti dihabiskan di rumah, bukan di kedai-kedai."

Hari pertama kami kembara di Eropah, tiada tujuan tertentu. Pergilah ke mana sahaja, asalkan kami sempat menaiki tren waktu petang dari Liverpool Street ke jeti feri di Harwich International, utara London.

Lokasi pertama kami tuju adalah Paddington, kerana kata ayah, "Di situ banyak kedai makanan halal!"

Sepanjang perjalanan ke pusat bandar, rumah-rumah bergaya Inggeris penuh di kiri kanan. Semakin dekat dengan bandar, deretan kedai pula memenuhi jalan.

Beria-ia mengambil gambar kedai sekeliling dek teruja!
Gambar diambil ketika berjalan dari stesen tube ke stesen tube seterusnya.
Gambar stesen tube Hammersmith dari luar.
Kami tiba di Paddington, selepas bertukar-tukar beberapa laluan tube. Laluan terus ke Paddington ditutup kerana kerja-kerja penambahbaikan tube pada cuti umum.

Paddington ini sebuah hab stesen keretapi ke arah barat London, rupa-rupanya.

Sibuk mengambil suasana dalam Stesen Keretapi Paddington.
Begitu semangat, sehingga gambar kedai roti juga diambil. 
Dari Paddington, kami merancang berjalan kaki di luar. Sebaik tiba di muka pintu, terus ia dibatalkan. Angin dingin meng"gigit" kuat. Mungkin sekitar 16 darjah waktu itu, atau, kurang.

Akhirnya, kami menaiki tube sahaja.
Kedai buku di dalam stesen tube.
Menunggu tube datang di Paddington tube.
(Nota: Paddington tube tidak sama dengan Paddington Station, walaupun nama lokasinya serupa.)
Inilah rupa logo tube. Cari logo ini jika mahu menaiki tube.

Teman backpacking saya.
Dari Paddington, kami turun pula di Charing Cross bagi menyimpan bagasi. Caj menyimpannya sehingga petang adalah 8.50 pound, hampir 40 Ringgit Malaysia. Uhuk! (Bandar ini memang pandai mengambil duit daripada pelancong seperti kami...)

Pandangan luar Stesen Charing Cross
Bersambung dalam post seterusnya, "Petang di London". 


Waida Yusof, Ogos 2011