Jul 24, 2011

Travelog Eropah 2: Leaving On A Jet Plane Bahagian 2

Sambungan dari entri Leaving On A Jet Plane Bahagian 1.


1 Mei 2011: Bahagian 2


Saya sentiasa percaya, ketika kembara, pasti banyak perkara tidak dijangka berlaku. Maka, siap siaga sahaja dan gembirakan diri melaluinya. Tentu sahaja ada perkara baik Tuhan tentukan buat kita. Hanya kita masih belum matang memahami erti di sebaliknya.

Penerbangan kami panjang sifatnya.

KL - Bandar Seri Begawan, Brunei = 2 jam++
Brunei - Dubai, UAE = 8 jam++
Dubai - London, UK = 7 jam++

Hampir 17 jam berada dalam kapal terbang semata, belum dicampur jam menunggu dan berurusan di lapangan terbang. Jika bukan kerana kami terbang dari Timur ke Barat, kami tidak mendapat semula hari yang hilang itu. Maka, kami bertuah kerana semuanya berlaku dalam 1 Mei tahun 2011 lagi.

Penerbangan 1: Kuala Lumpur - Brunei

Kapal terbang kami naiki ini saiznya sedang-sedang sahaja. Ia serupa perjalanan dari KL ke Sabah atau Sarawak. Jujurnya, tidak banyak perkara saya ingat, kecuali, melihat insiden ditegur pramugari supaya menegakkan kerusi ketika waktu makan. Terkesima dan kagum dengan ketegasan pramugari itu. Saya fikir, pramugari itu beretika tinggi dan sering melebihkan orang lain.

Gambar Hiasan.
 Contoh Pramugari Royal Brunei Airlines
Kredit Foto: worldscrews.blogspot.com
Apa saya lebih ingat, adalah bagaimana kami berlawan dengan masa di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Sebaik mendarat jam 8.10 malam di sana, kami punya masa kurang 40 minit, sebelum pesawat kami seterusnya berlepas ke Dubai.

Inilah keseronokan menjadi pengembara Muslim. Ke mana pun kita bebas pergi, asalkan tidak lupa bersolat. Dalam ruang singkat itu, kami harus melunaskan himpunan dua solat, iaitu, Maghrib dan Isyak.

Alhamdulillah, sekadar cukup-cukup sahaja kesempatan masa bersolat dan melakukan pemeriksaan sekuriti sekali lagi. Biarlah menjadi penumpang terakhir menaiki pesawat, asalkan kami tetap ke Dubai dan London!

Penerbangan 2: Brunei - Dubai - London


Menaiki penerbangan Royal Brunei Airlines (RBA) ke London, saya menyangka ia dipenuhi rakyat Brunei, seperti lazimnya penerbangan MAS. Rupa-rupanya, ia meleset. Hampir 80 peratus, ia dipenuhi penumpang berkulit putih. Bilangan kulit Asia seperti kami, dapat dibilang dengan jari.

Perkara tidak dijangka pertama, apabila kerusi Shawn terletak jauh daripadaku dan Fidah. Perkara tidak dijangka kedua, saya juga akhirnya duduk sendiri-sendiri sepanjang perjalanan. Pertukaran di dalam pesawat boleh sahaja berlaku, dan ia berlaku ketika seorang bapa duduk berjauhan daripada isteri dan anak-anaknya yang masih kecil.

Usai makan, pramugari itu mendekati saya dan bertanya, "Mohon bertanya. Mahukah Cikpuan berpindah ke kerusi belakang?"


Maka, kami bertiga tetap sendiri-sendiri dalam penerbangan panjang ini.

Menjelang tengah malam waktu tempatan, pesawat kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, UAE. Sayang sekali, tempat bernama Dubai ini kami sempat melihat bandar udaranya sahaja.

Walau tengah malam, ia tetap penuh dengan orang. Banyak sekali orang tidur dan duduk-duduk menunggu penerbangan mereka, seolah-olah waktunya bukan tengah malam. Sekali imbas melihat, mereka mungkin orang Filipina atau Indonesia yang mencari makan di Dubai.

Apa pun, perkara menarik di sini, adanya WiFi percuma!

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, UAE tidak lengang
walaupun di tengah malam. 

Kagum melihat nombor terminal tiga digit.

Membeli di sini, harus ada mawatang Dinar atau Dolar US.
Jika tidak, cuci mata sahaja!


Satu jam setengah kemudian, naik kapal terbang sekali lagi...

London, kami datang kepadamu!


Bersambung: Travelog Eropah: Hari Pertama di London


Waida Yusof, Julai 2011


BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

Jul 20, 2011

Travelog Eropah 1: Leaving On A Jet Plane Bahagian 1

"Malanglah kita jika masa membuatkan kita melupakan hal-hal rinci."

Sayang benar rasanya, jika melupakan hal-hal rinci sebelum catatan kembara ini ditulis, dan, terdorong pula menulisnya, saat membaca catatan Wisata Ranah Minang ditulis Azzah. Baik, nikmatilah siri catatan Travelog Eropah ini.

Undur kembali kisah dua bulan lalu...

--------

1 Mei 2011: Bahagian 1

Cemas dan buntu. 

Memilih barang yang sesuai dibawa pada saat-saat akhir
Itulah perasaanku jam 2 pagi itu. Kurang 12 jam lagi, kami akan bertolak ke lapangan terbang. Mesej S.O.S dihantar kepada teman kembaraku berdua. Rupa-rupanya, mereka juga menghadapi masalah serupa. Pengalaman pertama kembara dua minggu sendiri-sendiri memeningkan juga kepala kami, yang biasa mengembara. 

Jam tiga, barulah barang siap dikemas. Pagi itulah jua, kami teringat macam-macam hal. Lumrah mengemas saat-saat akhir. 

Ajaibnya, bangunku tetap awal tanpa kantuk sedikit pun. Alangkah bagusnya, jika sikap baik ini juga berlaku pada hari-hari biasa. 

Usai bersarapan, persiapan disambung semula. Banyak maklumat harus dicetak, seperti tiket perjalanan, maklumat penginapan, salinan passport, maklumat kedutaan, waktu solat, dan lain-lain lagi. Bayangkan maklumat-maklumat itu bagi kelima-lima negara kami akan pergi nanti. Sudah hampir setebal satu buku nota sekolah sahaja kertas-kertas itu!

Jam satu petang, ayah sudah bersedia menghantarku dan Shawn ke KLIA. Kami lanjut dahulu ke rumah temanku itu. Di sana, dia sudah sedia bersama satu beg kandar dan satu beg silang, bersama jaket di tangan. Dia bergegas masuk ke kereta. 

Tiba-tiba, ayah bertanya kami, "Semua barang sudah dibawa bersama? Paspot? Dompet? Tiket kapal terbang? Telefon?"

Mujur juga ayah bertanya. Baru tersedar, paspot rakanku itu tiada di dalam beg. Kelam kabut dia masuk ke rumahnya semula. Lama sungguh dia di dalam. Lalu, kuturuti langkahnya ke dalam rumah tadi. Di situ, wajah rakanku tegang. Katanya, "Paspot itu di dalam dompet, dan ia entah di mana sekarang."

Apa lagi, kelam kabut kami mencari. Masih tidak ditemui. Kemudian, Shawn berlari ke kereta mencari dompetnya itu di dalam kereta. Masih tiada. Suasana sedikit tegang. Kami pun membongkar segala barang di dalam rumahnya. Alhamdulillah, bertemu juga dompetnya. Kebetulan, ia tersorok di bawah selimut. Berlari sekali lagi kami ke kereta. 

Dugaan kami pada hari itu, rupanya masih belum tamat.

Tiba di KLIA, urusan check-in di kaunter Royal Brunei Airlines (RBA) pula. Tempat duduk Shawn tidak bersekali dengan kami rupanya. Andai ia perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bandar Seri Begawan, Brunei, ia tidak menjadi hal buat kami. Malangnya, hanya tempat dudukku dan Fidah sahaja bersama-sama dari Brunei ke London. Biarpun kami meminta jasa baik petugas kaunter, tiada apa mereka dapat buat waktu itu. Jawab mereka, "Penerbangan ke London sudah penuh. Maafkan kami."

Perancangan Tuhan memang unik. 

Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar selepas itu. Urusan imigresen mudah dengan adanya sistem Autogate. Urusan pemeriksaan sekuriti barang hand-luggage juga tiada apa-apa masalah. Urusan menaiki tren ke Terminal Antarabangsa juga menyeronokkan.

Akhirnya, kami tiba jua di balai menunggu!

Kapal terbang Royal Brunei Airlines menanti kedatangan kami
Sungguh, ini pertama kali kami menaiki kapal terbang milik kerajaan Brunei. Sebelum berlepas, perasaanku bertukar kagum, tatkala di"hidang"kan doa oleh sistem audio, bersama-sama skrin di bahagian hadapan. Bayangkan, muslim di dalam pesawat beramai-ramai menadah tangan dan mengaminkan doa. Insya Allah, tentu sahaja penerbangan ini diberkati Tuhan. 

Tepat jam 5.50 petang 1 Mei, selamat tinggal Malaysia!

Bersambung: Leaving On A Jet Plane Bahagian 2

Waida Yusof, Julai 2011