Oct 23, 2011

Travelog Eropah 7: Amsterdaam 3

4 Mei 2011

Subuh itu, kami bersolat dengan lebih mudah, tanpa pandangan aneh dari rakan sebilik.

Kata Shawn, "Kita dengan urusan kita. Mereka dengan urusan mereka. Cukuplah kita saling timbang rasa."

Sesudah itu, kami turun ke ruang legar di tingkat bawah. Jam 7 pagi, hanya ada pekerja-pekerja hostel di situ. Rata-rata tetamu hostel kuning itu masih enak melayan mimpi.

Tiba-tiba, pintu utama di hadapan kami dibuka.

Pintu hadapan hostel

Seorang lelaki berbadan besar membawa bertingkat-tingkat bekas berisi roti yang baru dibakar. Harum benar baunya. Sayangnya, belum tiba masanya bagi bersarapan.

Lalu, kami pun melangkah keluar dan menuju ke jalan besar.

Misi pagi itu adalah menemani Shawn mencari pasar pagi. Pelannya, mahu mencari buah-buahan tempatan segar (dan murah).

Sungguh sombong tidak mahu membeli buah di sini waktu itu...

Maka, menapaklah kami dengan harapan besar bertemu sebuah pasar.

Apabila sebuah tram biru melintasi di hadapan kami, meluncur kata-kata "gila" dari mulutku, "Shawn, mari kita naik tram. Jika nasib kita baik, mungkin kita berjumpa pasar."

Gambar ini diambil sehari sebelum. Tiada gambar pada waktu kejadian heh.

Shawn menurut kata-kataku, dan kami berdua sama-sama menaiki tram seterusnya, tanpa mengetahui apa dan di mana destinasi kami.

Tram itu rupa-rupanya keluar dari tengah bandar Amsterdaam. Jika di tengah-tengah kota Amsterdaam, reka bentuk bangunannya berbentuk klasik, bangunan di sekelilingnya pula serupa seperti mana-mana bangunan di Malaysia sahaja.

Kataku, "Ada juga sisi moden Amsterdaam ini."

Dalam kekaguman, jujurnya, terselit juga kerisauan di hati saya. "Entah ke mana tram ini akan pergi. Semakin lama, ia semakin jauh dari tengah kota."

Kerisauan kami beralih 180 darjah, apabila pemandu tram wanita itu menegur kami, "Cikpuan berdua, di mana kamu mahu turun? Ini adalah perhentian terakhir tram ini." Ketara benar wajah pelik wanita muda itu melihat kelakuan kami.

Selepas bertanya di mana stesen tram menuju bandar, kami pun turun. Sekali lagi, kejutan berlaku. Rupa-rupanya, tram tadi berpusing mengikut treknya dan berhenti di stesen tram kami berdiri itu.

Saat itu, memang mahu ketawa, namun, seperti kurang di"ajar" pula.

Mujur juga, tiket tram menggunakan konsep masa. Selagi belum tamat tempoh sejam, tiket bernilai 2 Euro itu tidak luput.

Tiba semula di stesen tram berhampiran hostel, barulah ketawa kami pecah.

Akhirnya, kami berpatah semula ke hostel Shelter Jordaan dan bertanya kepada lelaki berusia 30-an di bahagian penyambut tetamu itu.

"Tuan, adakah pasar buah berhampiran kawasan ini?" tanya Shawn.

Jawabnya,"Saya juga kurang pasti. Setahu saya, pasar pagi hanya dibuka pada (hari tertentu, saya lupa apa harinya). Namun, cubalah kamu ke sana. Mungkin kamu bernasib baik," dan seterusnya, memberikan panduan ke sana.

Maka, kami keluar semula ke jalan berturap batu-batu kecil itu. Berbekalkan panduan, kami berjalan ke arah bertentangan dari hostel.

Setengah jam kemudian, apa kami temui adalah...

Basikal berwarna pink bunga-bunga :D


Dan, sebuah gerai yang ditutup...

Maka, ia sudah menjadi acara senaman jalan kaki pada waktu pagi.

Akhirnya, kami pulang ke hostel bagi sarapan pagi. Sarapan yang pasti ada buat kami berdua yang kelaparan selepas ber"senam".

Ruang makan di Shelter Jordaan

Walau kelaparan, sempat juga berbual-bual dengan petugas di sini.

Waida Yusof,
19 Okt 2011

Oct 12, 2011

Travelog Eropah 6: Amsterdaam 2

3 Mei 2011

"Hati-hati!"

Ya, teguran itu benar-benar datang dalam bahasa ibunda.

Suara itu menegur lembut kami ketika melintas jalan. Datangnya ia dari dua orang wanita dari atas motorsikal.

Adakalanya, saya terlupa jalan di bandar raya lama ini lebih di"kuasai" motorsikal dan basikal. Mereka lebih menakutkan berbanding kereta!

Deretan basikal yang diparkir memenuhi tepi jalan
Petang itu, misi mencari makanan halal bermula!

Berpatah semula ke stesen keretapi dari hostel begitu menyeronokkan. Tambahan pula, dalam cuaca nyaman begini, saya seakan-akan mahu berlari. Namun, sayang sekali, keadaan kaki kiri kurang mengizinkan.

Lima belas minit kemudian, selepas melalui dua terusan, kami bertemu sebuah kedai Arab di celah-celah kedai.

Menakjubkan betul melihat pemilik kedai makan ini. Dialah penyambut tetamu, pelayan, tukang masak, dan, juga juruwang. Betul-betul multi-tasking orangnya!

Di belakang kaunter itulah tuan punya kedai ini
 Memesan Falafel. Rasanya seperti kuih vadai. Rupanya juga begitu!

Bulat-bulat hitam itulah falafel
Selesai makan, misi mencari masjid di bumi Amsterdaam pula. Oh ya, pemilik kedai ini juga penunjuk arah yang cemerlang. Sanggup dia melakar peta kasar buat kami bertiga.

Mencabar juga rupanya mencari masjid ini. Dua tiga kali kami melewati barisan bangunan yang diceritakan. Akhirnya, kami mencari masjid itu sambil melihat bumbung.

Sebenarnya, pintu masuk ke masjid ini hanyalah sebuah pintu putih! Syukurlah kepada Tuhan, kami tergerak hati bertanya kepada sebuah kedai roti Turki.

Ruang di dalam masjid

Ruang belajar ini bersebelahan ruang solat wanita


Gambar buletin masjid pun mahu ambil!
Pengalaman utama di sini adalah ke"sengsara"an mengambil wuduk dengan air dingin!

Agenda seterusnya sudah tentu berjalan-jalan di sekitar bandar tua ini.

Bangunan berwarna hitam itu adalah Muzium Anne Frank

Kedai alat tulis merangkap buku

Pemilik sebuah kedai buku kanak-kanak yang baik hati.
Melihat wanita Belanda ini, saya akan tersenyum kerana beliau sungguh gigih menerangkan makna kata-kata dan puisi pada dua keping poskad berbeza.

Buah-buahan dan sayur-sayuran di sebuah kedai

Namanya pinata. Apabila dipecahkan, gula-gula akan keluar.

Label tingkat di sebuah pusat membeli-belah
 Akhir sekali, paling klasik kerana bertemu kedai ini! ^__^

Lihat nama kedai ini. 
Waida Yusof, 12 Okt 2011

PS: Mohon bertabah menunggu entri Travelog Eropah ini ditulis. Saya akan bergigih menulisnya tidak kira waktu. Semoga berjaya, Waida!