Dec 3, 2012

Prinsip, bukan peraturan.

Rules are made to be broken.

Kecuali, peraturan Allah. Peraturan alam dan peraturan agama.

Hujung minggu lalu, saya membaca buku "Reflections" penulis yang saya kagumi.

Saya mula meminati tulisannya sejak membaca Howl's Moving Castle. Dan, dua buah buku beliau lain yang saya minat adalah House of Many Ways dan The Enchanted Glass.

Pesan mendiang Diana Wyne Jones dalam bukunya yang dapat saya simpulkan begini.

Ketika menulis buku kanak-kanak, kongsikan prinsip bukan peraturan. Tugas penulis bukan bersyarah, sebaliknya memberi pengalaman.

Kata-kata yang menusuk ke dalam hati.

Waida Yusof,
3 Dec 2012
Bangi

Nov 4, 2012

Buku Cerita Bergambar

Dua minggu lalu, saya berkesempatan mengikuti bengkel menulis "Buku Cerita Bergambar Kanak-kanak" kelolaan KursusPenulisan.com di bawah tunjuk ajar cikpuan Fazeila Isa. 

Kami diperkenalkan dengan buku cerita bergambar klasik sepanjang zaman, "Where The Wild Things Are" tulisan dan ilustrasi oleh Maurice Sendak. 

Kredit Gambar: Wikipedia
Sebelum diberitahu cikpuan Fazeila, saya tidak menyangka buku ini sudah bertaraf klasik (Ya, ia diterbitkan pada tahun 1963. Sudah seusia dengan tarikh penubuhan Malaysia).

Pada awal penerbitannya, buku ini dilanda kontroversi kerana ilustrasi raksasa-raksasa itu. Namun, sisi ceritanya yang dekat dengan jiwa kanak-kanak, akhirnya membuat buku ini kini berada dalam senarai wajib dalam almari rumah.

Ternyata, ilustrasi yang hebat ditambah dengan pilihan kata yang menawan akan tetap menambat hati kanak-kanak.

Kata saya selepas tamat bengkel, "Ilmu paling utama hari ini, ilustrasi dapat berdiri sendiri walaupun tanpa teks. Kedua, kekuatan cerita dipersembahkan melalui teks dan ilustrasi."

Bergambar bersama trainer dan rakan sebengkel.
Kredit Foto: Puan Rihan
Waida Yusof,
4 Nov 2012
KL

Oct 21, 2012

Seputar Kata-kata Dari Bandung

Ketika kami sedang sibuk bercerita tentang kek brownies jenama Kartika Sari, supir kami menyampuk,

"Di sini jenama Amanda juga popular."

Sambil matanya memandang jalan raya, dia menyambung lagi. "Kalian tahu apa makna Amanda itu?"

Geleng.

"Anak Menantu Aman Damai"

(Entahkan betul atau tidak kata-kata supir ini. Mungkin juga dia bergurau dengan kami.)

Lagi perkataan kependekan yang saya suka dan pelajari ketika di Indonesia.

Dufan - Dunia Fantasi

Batagor - Bakso Tauhu Goreng

Aspal - Asal Tapi Palsu

Ini pula kependekan bagi nama tempat.

Jabodetabek - Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi.

Malaysia juga tidak kurang dengan perkataan kependekannya sendiri.

Param - Pasar Ramadhan

Certot - Cerita Kontot

Jika Waida Yusof dipendekkan, akan menjadi WaYu pula :)

Waida Yusof,
17 Oktober 2012
Selangor

Sep 20, 2012

Matematik dan Bahasa

Matematik dan Bahasa?

Ya, belajar bahasa dan pada masa sama, Matematik juga.

Penemuan ketika sibuk menghafal perkataan bagi menyebut nombor dalam Bahasa Perancis.

Nombor 10 - 60 dalam Bahasa Perancis

10 - Dix
20 - Vangt
30 - Trente
40 - Quarante
50 - Cinquante
60 - Soixante


Saat ini, unsur Matematik-nya belum terserlah.

70 - Soixante-dix

Perhatikan semula perkataan di atas.

Soixante adalah perkataan Perancis bagi nombor 60. Dix pula adalah perkataan bagi nombor 10. Jadi, bagi menyebut nombor 70, hanya tambah 60 + 10, iaitu, gabungkan Soixante dan Dix.

Secara Matematiknya,

60 + 10 = 70

Soixante + Dix = Soixante-dix

Baiklah, sekian rumus Matematik daripada saya :)

(Menaip entri ini, saya langsung teringat kepada rakan saya, Cik Mal)

Waida Yusof,
20 Sept 2012
Kuala Lumpur

Aug 29, 2012

Blog Kembara: Ranah Dunia

Titipan istimewa buat sahabat yang saya hormati,

Saya baru membuat blog baru khusus untuk cerita-cerita kembara saya di ranahdunia.blogspot.com. Blog ini masih saya kekalkan, hanya nanti ia akan diberi nafas baru dan khusus kepada cerita-cerita seputar dunia terjemahan dan penulisan.

Antara cerita terkini adalah,

Apa Souvenir Popular di Malaysia?

Selamat membaca! ^_^

Waida Yusof,
29 Jun 2012

Jun 12, 2012

Lima Pagi Di Edinburgh

Jam 5.26 pagi di Edinburgh, Scotland.

Jam lima pagi.

Lalu, yang terbayang itu, langit yang sunyi sepi dari matahari. Langit yang masih tersorok dari terangnya cahaya matahari.

Namun, lima pagi musim hangat ini, cahaya matahari sudah tidak lagi malu-malu.

Langit, yang jika di tanah air, manusia sudah pun bergegas ke tempat kerja dan bersesak di jalan raya. Sekitar jam tujuh ke lapan pagi begitulah.

Lalu, inilah perkara yang belum dapat kuasosiasikan dengan diri dalam musim panas ini.

Tentu.

Kerana, aku ini orangnya yang me"lihat" waktu dengan terangnya langit dan matahari :)

Waida Yusof,
12 Jun 2012,
Edinburgh, Scotland.

May 14, 2012

Filosofi Penterjemah

Sudah 7 hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012 melabuhkan tirainya.

Namun, tetaplah ada sesuatu yang saya pegang kejap dalam hati. Terngiang-ngiang sehingga kini, kata-kata Puan ini. Sungguh, kata-kata ini berbisa dan berbekas di hati.

Kongsi Puan Azlin, "Karya asal dan terjemahan itu, biarpun berbeza kata-kata, namun, pemahamannya tetap serupa."

Benar sekali. Kata-kata yang mencerahkan saya sendiri tentang beza karya asal dan karya terjemahan.

Waida Yusof,
13 Mei 2012

Apr 21, 2012

Travelog Eropah 11: Tiga Lelaki Muslim Itu

Saya cenderung sependapat dengan Aleah.

Perjalanan itu memberi makna dengan siapa kita berjumpa dan berpisah sepanjang perjalanan itu.

Ia juga mengingatkan saya kepada tiga lelaki Muslim yang kami temui di Brugge, Belanda. Ketika itu, saya, Shawn dan Fidah berkelana di Eropah selama dua minggu.


Berbasikal di atas batu bundar ini ada cabarannya tersendiri!

Lelaki Muslim Pertama


Diambil daripada laman webnya - www.brugesbikerental.be

Jujurnya, namanya saya lupa. (Memang itulah kelemahan saya). Dia mengusahakan kedai sewa basikal di Brugge. Tergerak hati kami ke sini sebaik melihat harga sewanya yang murah. Harga sewaan 10 Euro sehari itu masih dikira murah berbanding kedai-kedai lain.

Takdir Tuhan jugalah menemukan kami dengan dia, lelaki dari Palestin ini. Terfikir juga saya ketika bertemu dia, apakah dia sudah lama menetap di sini, atau "melarikan" diri ketika di sana dirundung malang?

Lelaki Muslim Kedua

Entah mengapa, saya mengingati nama lelaki pendiam ini. Mungkin kerana dia bersungguh-sungguh membaiki rantai basikal yang saya sewa. Entah berapa kali cubaannya, sebelum akhirnya, saya mendapat basikal lain sahaja.

Namanya Muhammad dan berketurunan Afrika. Sebenarnya, daripada dialah, saya tahu, rakannya (Lelaki Muslim Pertama) itu juga muslim. Dia rakan seusaha lelaki muslim pertama saya temui itu. Mereka berdua sama-sama mengusahakan kedai basikal itu.

Dan, pertemuan kami dengan kedua-dua lelaki muslim ini membawa kami kepada Lelaki Muslim Ketiga.

Lelaki Muslim Ketiga


Lelaki ini dan keluarganya berasal dari Mesir.

Masih terbayang-bayang di kepala saya, bagaimana dia bercerita kepada kami, "Isteri saya di atas bersama anak-anak. Saya tukang masak dan juga pelayan di sini," sambil tersenyum.


Lelaki itu di belakang kaunter.

Dia mengusahakan sebuah restoran bercirikan Mesir dan halal di Brugge. Taip sahaja "Academiestraat 6, Brugge, Belgium" di Google Maps.

Syukur kepada Tuhan, sedap makanannya berbanding semangkuk Maggi dan sup Campbell yang kami jamah malam sebelumnya. Asalkan ada yang halal dan harganya mampu milik, kami sudah bersyukur.

 
Secawan teh lemon hangat manakan sama rasanya dengan semangkuk Maggi.

Waida Yusof,
April 2012

Mar 15, 2012

Travelog Eropah 10: Secawan Coklat Hangat Di Brugge, Belgium

Coklat.

Kata orang, "Coklat itu penawar duka."

Kata saya, "Coklat itu sedap. Memakannya satu kenikmatan nyata."

Dan, saya temui erti coklat sebenar di Brugge, Belgium.

Deretan kedai coklat menjual coklat buatan tangan.



Bersarapan pagi diiringi coklat ketul di samping minuman coklat hangat.



Minum semangkuk besar susu panas dikacau bersama ketul-ketul coklat.





Benar-benar seperti apa ditulis pada kain rentang di hadapan kedai mereka.

"The Place To Be To Drink The Best Hot Chocolate." - Tempat Terbaik Minum Coklat Hangat.



Ternyata, memang minuman coklat terbaik di Brugge!

Waida Yusof,
Mac 2012

PS: Selepas ini, turutan entri Travelog Eropah ini tidak akan mengikut turutan :) Sebaliknya, ia akan mengikut teknik KJ Metod.

PSS: Banyak baiknya berkawan dengan seorang pengembara seperti tulisan wanita Filipina ini.

Jan 4, 2012

Hari Rabu Tanpa Nama Pertama

Terpengaruh dengan entri posting Husna Adnan setiap kali Rabu menjelma. Maka, ini Wordless Wednesday (Hari Rabu Tanpa Nama) pertama  saya.



Jan 3, 2012

Tips Penulisan Buku Kanak-Kanak

Dua minggu berhempas pulas menyiapkan manuskrip tauhid kanak-kanak. Alhamdulillah, ia sudah siap dan dihantar kepada ketua projek semalam.

Sesi kepeningan dengan manuskrip sendiri @_@

Dan, kerja keras kami terasa berbaloi-baloi, sebaik menerima emel menggembirakan daripada editor petang tadi.

Sebenarnya, mahu berkongsi maklumat berharga daripada tim projek ini, iaitu, Cikpuan Nur Nasim. Perkara ini saya perolehi ketika berbincang dengannya. Dia, sebenarnya, berkelulusan pendidikan kanak-kanak, jadi, input daripada cikpuan manis ini sangat berharga. Antaranya,

Gunakan deskripsi serupa bagi watak

Katakan, nama watak utama kita adalah Elis.

Lalu, kita akan menggunakan kata ganti diri Dia.

Namun begitu, adakalanya, kita juga menulis Elis sebagai anak Pak Samad, kakak Harun, kawan Laila, dan lain-lain lagi.

Risiko menggunakan deskripsi di atas, ia mungkin mengelirukan kanak-kanak, apatah lagi, jika ia berbeza. Ia juga berkaitan dengan konsep pengulangan kepada kanak-kanak :)

Kesimpulan saya dapat, cara terbaik adalah menulis Elis sebagai dia dan satu deskripsi sahaja.

Waida Yusof,
Jan 2012

Jan 1, 2012

Angan-angan Tahun Baru

Petang terakhir 2011 ini, saya penuhi dengan adegan kemas-mengemas barang. Mahu tutup cerita sebaiknya pada penghujung tahun ini, dan terjumpa pula papan putih ini.



Tiba-tiba, papan putih ini sudah bertukar fungsi. Sebenarnya, membelinya tahun lepas bagi mencatat kerja-kerja penting penulisan. (geleng kepala)

Mula berangan mahu membeli sekeping peta dunia besar dan ditampal di dinding. Kemudian, meletak magnet-magnet ini mengikut negara.

Satu pelajaran geografi yang baik juga buat anak-anak :)

Angan-angan itu percuma sahaja!

Waida Yusof,
1 Jan 2012

PS: Selamat tahun baru! Saya doakan rakan-rakan mencapai cita-cita kalian pada tahun 2012 ini. Amin!

PSS: Ada satu cita-cita besar dalam tahun 2012 ini. Moga-moga Allah lorongkan jalannya. Amin!