Mar 29, 2015

30 Tips Menulis Untuk Kanak-Kanak

"Tulis karya bukan kerana suka-suka, tetapi kerana kita betul-betul percaya tentang hasil karya sendiri."

Kredit Foto: Publishers' Perspective

"Malah, mungkin kita segan, tidak yakin dan takut karya ditolak pada awal-awalnya. Namun, percayakan diri kamu sendiri dan lakukannya (tulis) dengan yakin."

"Itulah kualiti pertama bagi bertemu penerbit dan memberitahu mereka, "Ini karya saya. Apa pandangan Tuan?"

Itu antara petikan kata-kata dari Tuan Grégoire Solotareff, penulis dan pelukis buku kanak-kanak dari Perancis dan sudah menghasilkan lebih 200 buah karya selama 30 tahun.

Ketika sambutan 50 tahun Penerbit l’école des loisirs’ di Perancis, ada 30 tips yang dikongsikan beliau:-

30 Tips Menulis Untuk Kanak-Kanak

1. Tulis karya yang belum wujud lagi di pasaran.

2. Idea mesti original.

3. Tulis karya yang membuat kanak-kanak mahu buka, selak dan selak lagi muka surat seterusnya.
4. Fikirkan idea, kemudian cipta rangka cerita.

5. Buku untuk kanak-kanak adalah gambar dan teks yang membantu gambar.

6. Tulis dengan ayat mudah. Tidak semestinya mudah dari segi kosa kata, tetapi ayat itu membantu kanak-kanak menyelami cerita.

7. Idea boleh datang dari mana-mana sahaja. Bezanya, ada momen "Ah-ha!" yang buat kita bersemangat mencipta cerita itu.

8. Semua idea pun boleh dikembangkan asalkan kita ingat pembaca cerita kita adalah kanak-kanak.

9. Buku kanak-kanak yang berkesan adalah buku yang juga menarik minat semua orang. 

10. Cerita untuk kanak-kanak adalah versatil. Ia boleh jadi cerita untuk anak-anak kita juga.

Antara karyaTuan Grégoire Solotareff.
Kredit Foto: Little Linguist

11.Idea cerita itu menarik minat kanak-kanak.

12. Buku bukan semata-mata berlandaskan ilustrasi yang cantik.

13. Teknik bukan segala-galanya - boleh dilatih dan ditekuni lagi. 

14. Sedar dan perasan dari mana sumber ilham kita. Orang tidak berminat dengan penghasilan semula karya sedia ada. Jadilah diri sendiri.

15. Karya itu sifatnya peribadi.

16. Jangan terburu-buru berkarya. Selepas selesai, biarkan selama 15 hari. Selepas itu, tengok semula dan betulkan.

17. Apabila berjumpa penerbit, tunjukkan karya yang sudah siap, walaupun akhirnya karya itu akan dibetulkan semula.

18. Karya yang siap menjawab soalan penerbit adakah penulis itu komited dengan karya sendiri.

19. Apa-apa objek atau binatang boleh menjadi watak dalam karya untuk kanak-kanak. Batu pun boleh.

20. Apa yang penting tentang watak adalah persoalan bagaimana kanak-kanak itu dapat melihat diri mereka dalam watak itu.

Nama tajuk buku ini "A cat is a cat".
Kredit Foto: Renaud Bray

21. Watak dalam karya adalah sebahagian dari sebuah dunia yang ditumpahkan melalui gambar, gambar dan gambar.

22. Dunia dalam karya adalah sebahagian daripada diri penulis. Itu yang membuatkan orang mahu membaca dan terus membaca karya kamu.

23. Sebagai pengkarya, letak niat berkongsi dunia kamu dengan pembaca melalui karya. 

24. Misteri di sebalik sesebuah karya bukan semata-mata dibuat dengan betul. Ia adalah cermin kepada kehidupan peribadi pengkarya.

25. Kegagalan itu lebih penting dari kejayaan. Gagal membuat kita menyoal diri sendiri dan membetulkan langkah kita seterusnya.

26. Perlukah kita tahu menulis dan melukis dengan sempurna untuk berkarya? Banyak karya dalam pasaran yang tidak sempurna tetapi tetap seronok dibaca.

27. Inti utama sesebuah karya adalah cerita itu koheren, iaitu padu dan mantap dari susunan muka surat yang terdiri dari teks dan gambar.

28. Lebih seronok berkarya apabila kita juga penulis dan pelukis kerana karya itu koheren.

29. Karya bagus yang ditulis penulis dan pelukis berbeza, biasanya saling memahami antara satu sama lain.

30. Cari penerbit yang nilai-nilainya kamu suka. Jika kamu suka apa yang penerbit itu suka, biasanya penerbit itu pun suka apa yang kamu hasilkan.

Artikel ini diadaptasi dan diterjemahkan secara bebas dari artikel di Publishing Perspective: Keys To Writing Books for Very Young Readers.

Waida Yusof,
29 Mac 2015
Sarawak