May 28, 2011

Erti Satu Kelana

Sudah dua minggu saya di rumah sejak pulang dari Eropah hari itu. Sudah dua minggu jugalah, saya merasai sakit moden bernama jet-lag, dek merentasi lapan zon masa berbeza dalam satu hari.

Tika saya melampiaskan rasa penat dan kantuk akibat kurangnya jam tidur, ringkas sahaja jawapan ibu. Jawab ibu, "Jika begitu, lain kali usah pergi lagi," sambil menceduk lauk ke pinggan.

Pantas saya menggeleng. "Mesti mahu pergi kembara lagi. Sakit ini sampingan sahaja."

Sungguh, sakit ini sampingan. Terlunasnya impian sejak kecil itulah yang lebih utama. Juga, keinginan mencabar diri sendiri, menguruskan A ke Z kembara ala bagpacking ini.

Buat teman saya, ini pembuktian utama kepada ibu bapanya, kami selamat pergi dan pulang tanpa kejadian besar. Bagi mereka, konsep menguruskan sendiri perjalanan agak kurang diterima, malah, digesa mengambil pakej dari agensi pelancongan.

Tidaklah dapat kami lakukannya, kerana seboleh-bolehnya, kami mahu melihat negara itu seperti dari kaca mata rakyatnya. Bersusah payah mencari rumah tumpangan, sambil mengheret beg. Menaiki pengangkutan awam serupa orang lain juga. Belajar bersolat di mana sahaja. Makan sekadar untuk hidup, dan pelbagai lagi.

Alhamdulillah, kepada Tuhan jualah kami panjatkan kesyukuran kerana selamat pergi dan pulang.

Semua ini bermula dari perancangan gila-gila tiga orang rakan universiti.

Tiga orang sama yang berpusing-pusing di Singapura selama tiga hari ala bagpacking. Saat Malaysia meraikan kemerdekaannya empat tahun lalu, kami meraikannya di Singapura. Tidur sekadar beralaskan selimut di lantai simen bilik bekas teman universiti kami, yang belajar di Singapura. Menaiki pengangkutan awam di Singapura seperti rakyat tempatan lagaknya. Malah, pernah kami tertidur di dalam bas sehinggalah kami dihantar terus ke apartmen kawan kami oleh pemandu bas.

Unik sungguh perancangan Tuhan.

Tanpa pengalaman di Singapura ini, mustahil agaknya kami bertiga akan ke Eropah. Itu saya pasti. Tanpa kejayaan kecil ini, mustahil kami berbual-bual panjang dalam emel bagi bagpacking ke Eropah pula setahun selepas itu.

Namun, entah kenapa, perancangan itu tidak menjadi.

Tidak lama kemudian, seorang daripada kami berkahwin. Kami berdua meneruskan kehidupan di pejabat, sehinggalah perkara ini timbul semula. Keinginan meneruskan agenda dahulu mekar semula tahun lepas. Ia disambut baik, lalu, perancangan pun bermula.

Kataku kepada mereka,"Kali ini, kita mesti pergi. Tidak boleh tidak. Mari kita beli tiket kapal terbang KL - London dahulu. Yang lain-lain, kita uruskan kemudian."

Dan, sebagaimana kami biasa lakukan, selamba sahaja kami cari dan booking tiket pergi balik KL - London.

Lapan bulan selepas itu, perjalanan pun bermula...

Satu penantian dan perancangan yang panjang, sehingga tidak dapat dipercayai kami sudah di sana dua minggu lalu. Berkali-kali saya katakan kepada teman berdua, "Sungguh saya tidak percaya, kita sudah berada di Eropah!"

Kini, selepas pulang, secebis pengalaman ini memang manis buat kami semua. Secebis kerana bagiku, apa kami lihat itu hanyalah satu persen daripada setiap negara yang kami rentasi.

Namun, tidak mengapa, kerana saya tahu, saya akan kembali ke sana lagi pada masa akan datang, Insya Allah.

Gambar kenang-kenangan tahun 2007 di Clarke Quay, Singapura

Waida Yusof,
28 Mei 2011

PS: Berjalan sudah, kini, masa menuliskan proposal travelognya pula. Semoga dipermudahkan. Amin!

No comments:

Post a Comment