May 28, 2011

Erti Satu Kelana

Sudah dua minggu saya di rumah sejak pulang dari Eropah hari itu. Sudah dua minggu jugalah, saya merasai sakit moden bernama jet-lag, dek merentasi lapan zon masa berbeza dalam satu hari.

Tika saya melampiaskan rasa penat dan kantuk akibat kurangnya jam tidur, ringkas sahaja jawapan ibu. Jawab ibu, "Jika begitu, lain kali usah pergi lagi," sambil menceduk lauk ke pinggan.

Pantas saya menggeleng. "Mesti mahu pergi kembara lagi. Sakit ini sampingan sahaja."

Sungguh, sakit ini sampingan. Terlunasnya impian sejak kecil itulah yang lebih utama. Juga, keinginan mencabar diri sendiri, menguruskan A ke Z kembara ala bagpacking ini.

Buat teman saya, ini pembuktian utama kepada ibu bapanya, kami selamat pergi dan pulang tanpa kejadian besar. Bagi mereka, konsep menguruskan sendiri perjalanan agak kurang diterima, malah, digesa mengambil pakej dari agensi pelancongan.

Tidaklah dapat kami lakukannya, kerana seboleh-bolehnya, kami mahu melihat negara itu seperti dari kaca mata rakyatnya. Bersusah payah mencari rumah tumpangan, sambil mengheret beg. Menaiki pengangkutan awam serupa orang lain juga. Belajar bersolat di mana sahaja. Makan sekadar untuk hidup, dan pelbagai lagi.

Alhamdulillah, kepada Tuhan jualah kami panjatkan kesyukuran kerana selamat pergi dan pulang.

Semua ini bermula dari perancangan gila-gila tiga orang rakan universiti.

Tiga orang sama yang berpusing-pusing di Singapura selama tiga hari ala bagpacking. Saat Malaysia meraikan kemerdekaannya empat tahun lalu, kami meraikannya di Singapura. Tidur sekadar beralaskan selimut di lantai simen bilik bekas teman universiti kami, yang belajar di Singapura. Menaiki pengangkutan awam di Singapura seperti rakyat tempatan lagaknya. Malah, pernah kami tertidur di dalam bas sehinggalah kami dihantar terus ke apartmen kawan kami oleh pemandu bas.

Unik sungguh perancangan Tuhan.

Tanpa pengalaman di Singapura ini, mustahil agaknya kami bertiga akan ke Eropah. Itu saya pasti. Tanpa kejayaan kecil ini, mustahil kami berbual-bual panjang dalam emel bagi bagpacking ke Eropah pula setahun selepas itu.

Namun, entah kenapa, perancangan itu tidak menjadi.

Tidak lama kemudian, seorang daripada kami berkahwin. Kami berdua meneruskan kehidupan di pejabat, sehinggalah perkara ini timbul semula. Keinginan meneruskan agenda dahulu mekar semula tahun lepas. Ia disambut baik, lalu, perancangan pun bermula.

Kataku kepada mereka,"Kali ini, kita mesti pergi. Tidak boleh tidak. Mari kita beli tiket kapal terbang KL - London dahulu. Yang lain-lain, kita uruskan kemudian."

Dan, sebagaimana kami biasa lakukan, selamba sahaja kami cari dan booking tiket pergi balik KL - London.

Lapan bulan selepas itu, perjalanan pun bermula...

Satu penantian dan perancangan yang panjang, sehingga tidak dapat dipercayai kami sudah di sana dua minggu lalu. Berkali-kali saya katakan kepada teman berdua, "Sungguh saya tidak percaya, kita sudah berada di Eropah!"

Kini, selepas pulang, secebis pengalaman ini memang manis buat kami semua. Secebis kerana bagiku, apa kami lihat itu hanyalah satu persen daripada setiap negara yang kami rentasi.

Namun, tidak mengapa, kerana saya tahu, saya akan kembali ke sana lagi pada masa akan datang, Insya Allah.

Gambar kenang-kenangan tahun 2007 di Clarke Quay, Singapura

Waida Yusof,
28 Mei 2011

PS: Berjalan sudah, kini, masa menuliskan proposal travelognya pula. Semoga dipermudahkan. Amin!

May 15, 2011

Erti Tudung

"Tudung bukan lagi sekadar sehelai kain buat menutup aurat."

Kata-kata ini benar sekali di bumi non muslim ini. Tudung itu sudah multi-fungsi di sini.

Dengannya, kami menerima sapaan dari orang asing atas rasa bersaudara. Tegur lelaki di hadapanku,"Assalamualaikum," sewaktu beratur di kaunter check-in, Lapangan Terbang Praha.

Dengannya, kami menerima senyum manis dua gadis bertudung dari jauh ketika berpusu-pusu menaiki pengangkutan awam di Prague.

Dengannya, kami sering menerima pertanyaan berkaitan asal usul, ketika membeli cenderamata di kedai.

Dengannya, kami menerima diskaun tanpa diminta, atas rasa bersaudara di bumi asing.

Dengannya juga, kami menerima pandangan serba pelik dari rakyat yang tidak biasa melihat wanita bertudung.

Akhirnya, dengannya, tudung itu tanda kita seorang Muslim, walau di mana kita berada.

Waida Yusof,
15 Mei 2011,
London.
  BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

Mudahkan Urusan Orang Lain

"Kemaskan katil itu, sehingga ia hampir serupa seperti sebelum kita masuk ke bilik hotel ini tempoh hari," pesan ibu kepada anak perempuannya.

Satu ajaran yang sering tidak saya fahami logiknya sedari kecil, sehinggalah kematangan menjengah. Dan, saya sedari hikmahnya di suatu bumi asing.

Mungkin pada ibu, tinggalkanlah imej baik kepada petugas hotel. Jika perkara sekecil ini kita buat, kita akan mampu berbuat perkara-perkara lain yang lebih besar.

Tentu petugas hotel gembira kerana kita memudahkan kerjanya. Insya Allah, Tuhan akan memudahkan urusan kita pula. Amin!

Waida Yusof,
13 Mei 2011,
Pension Platan, Praha.
BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

May 11, 2011

Kami Orang Malaysia

Selama seminggu lebih berkelana di bumi Eropah, satu perkara dapat saya simpulkan,

"Orang Malaysia mampu melancong ke serata dunia."

Tidak pernah sekalipun, orang yang mendengar asal usul kami, pelik mendengarnya. Jawapan balas yang selalu kami dengar,

"Oh, Malaysia. Saya kenal negara itu."

"Maleizi?"

"Orang Malaysia selalu datang makan di sini. Setiap 3 bulan, dia pasti datang."

Atau, kami yang ditegur tidak semena-mena,

"Kamu dari Malaysia?"

Atau, jika tahap pengetahuannya bagus sedikit,

"Cuaca di sana panas, bukan?"

"Abang saya bekerja di Penang tiga tahun. Kamu tahu tempat itu?"

Ini respon paling pelik. Berlaku ketika becerita metod menaiki gunung ke Istana Neuchweinstein.

"Kamu pasti sudah biasa naik dan turun Menara Berkembar Petronas (menggunakan tangga)."

(Staf dilarang menggunakan tangga walaupun satu tingkat ke atas atau bawah, kerana berkaitan isu keselamatan bangunan menara berkembar ini.)

Waida Yusof,
10 Mei 2011,
Dalam tren menuju Prague.

PS: Mod rindu nasi.
BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

May 9, 2011

Karya bebas sempadan

"Lagu Hindi lagi?" tanya saya, sebaik mendengarnya dalam tren menuju Praha, "Saya tidak sangka banyak juga peminat Hindi di Jerman."

Sampuk kawan saya, "Petugas hostel kita juga minat Hindustan. Semalam mereka menari ala Hindi!"

Tidak perlu terjemah lagu itu pun. Kalau karya yang baik, memang tetap disuka orang!

Waida Yusof,
9 Mei 2011,
Hostel Meininger, Jerman.
BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

May 8, 2011

Rezeki Ganda Dua

Jam 5.30 pagi di Munich. Di luar, fajar sudah hampir habis.

Kami baru sahaja turun dari keretapi selepas tidur-tidur ayam dalam koc. Sejak jam 3 petang, kami bertolak dari Brugge dan melintasi sempadan Jerman, Aachen bagi ke Munchen, dengan dua kali bertukar tren.

Buat kesekian kalinya, kami menarik kot ke tubuh. Kasihan sahabat saya, badannya benar-benar kalah kepada cuaca sejuk di sini. Beliau berpakaian lebih tebal berbanding kami. Namun, orang di sini tetap boleh berseluar pendek!

Perut berkeroncong minta diisi, apatah lagi, kami mengalas perut dengan secawan besar minuman coklat sahaja di Brugge. Sekali sekala, kami menjamah biskut atau air mineral dalam bekalan. Jadi, misi pertama pagi itu adalah mencari makanan panas (dan sedap).

Berbekalkan panduan daripada Zabiha, kami berjalan mencari restoran Turki bernama Istanbul. Daripada reviu, makanannya nampak sedap dengan harga mampu bayar. Selepas berpusing-pusing, akhirnya kami bertemu kedai dicari. Sayangnya, pintunya ditutup pula! Ia hanya akan dibuka jam 2 petang nanti.

Bermulalah misi mencari sekali lagi. Alhamdulillah, rezeki kami baik hari itu. Ada kedai Turki kecil yang sudah dibuka. Kami bergegas masuk. Di dalam, dua pekerja sibuk menyusun makanan. Seorang lagi sedang menyapu lantai.

Dengan bahasa ayam itik, kami memesan makanan. Nasi Turki dan lauknya ayam atau daging yang menjadi pilihan, walaupun rotinya juga tampak sedap. Muka masing-masing ceria seperti tidak berjumpa nasi setahun!

Habis sahaja doa makan, kami menyuap makanan dengan laju. Sedikit pelik rasa makanan Turki ini, namun, masih sedap. Apa tidaknya, ada yogurt sebagai sos dalam nasi. Tanpa disangka, roti yang dihulurkan awal tadi, adalah percuma buat kami. Alhamdulillah! Kami sudah ada bekal makanan tengahari.

Satu lagi kejutan selepas itu, saat saya memesan Teh Turki. Percuma juga. Alhamdulillah.

Dalam hati saya, pasti muka kami terlebih-lebih ceria semasa melihat makanan pada awal tadi.

Apa pun, semoga kedai itu bertambah-tambah rezekinya. Amin!

Waida Yusof,
7 Mei 2011,
Munchen, Jerman.
BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

May 7, 2011

Kita Serumpun

"Kamu Indonesia atau Malaysia?"

Satu lelaki berpakaian ala rockers menyapa kami entah dari mana. Waktu itu, kami menanti tren seterusnya ke Munchen di Stesen Tren Koln.

Wajah gembira lelaki itu berlainan benar dengan wajah kami yang gigih menahan kantuk.

Terpisat-pisat pula kerana ditegur entah siapa-siapa pada malam buta. Namun, sempat juga dibalas pendek, "Malaysia".

Lantas, dia tersenyum lebar dan berkata, "Saya Indonesia" sebelum bergabung dengan kumpulan Jermannya semula.

Jikalau sudah serumpun, memang serumpun jugalah jawabnya di mana-mana.

Waida Yusof,
6 Mei 2011
Koln, Jerman.
BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

May 5, 2011

Berbeza

"Cikpuan nampaknya datang dari jauh..."

Tegur pekerja hostel kami di Amsterdam ketika sarapan pagi. Nada suaranya ceria dan riang sekali sambil menyiapkan makanan buat kami.




Agaknya, tudung dan warna kulit kami menarik perhatiannya. Malah, sepanjang kembara kami di sini, sering sahaja kami mendapat kerlingan pelik daripada penduduk setempat.

Namun, berbeza juga menyeronokkan apabila mudah sahaja kami dicam orang.

Di hostel Amsterdam ini, setiap orang perlu menayangkan kad baucer setiap kali masuk dari pintu utama. Ciri-ciri sekuriti supaya keselamatan semua orang terjaga.

"Berbeza Itu Indah."

Waida Yusof,
4 Mei 2011
Shelter Jordan, Amsterdam
BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

Berdoa

Hati saya senang sekali menaiki penerbangan kali ini.

Bilakah kali terakhir kita membaca doa beramai-ramai sebelum kapal terbang berlepas?

Hari ini, saya menemuinya dalam penerbangan Royal Brunei. Sebelum ia berlepas dari landasan, skrin bacaan doa akan dipaparkan, sambil dibaca sehingga kedengaran segenap ruang kabin. Ada juga teks terjemahannya dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Penumpang muslim akan turut sama membaca dan mengaminkannya.






Dan, saya berharap perkara ini diikuti juga syarikat penerbangan Malaysia.

Waida Yusof,
2 Mei 2011

Di Awan Biru

Nota: Itu adalah gambar skrin peribadi setiap orang. Yang terpapar adalah status perjalanan terkini. Gambar doa tidak dapat diambil kerana alat elektronik perlu ditutup pada awal penerbangan. BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

Waktu Fajar

Nikmat Tuhan yang mana satukah kita dustakan?

Pagi ini saya belajar satu perkara lagi. Belajar melihat langit bagi melihat masuknya waktu Subuh dalam penerbangan.

Biasanya, ketika dalam penerbangan, ayah mengejutkan kami sekeluarga merujuk supaya bersolat Subuh.

Kali ini, saya harus bertanya siap-siap kepada ayah. Kata ayah, "Awan akan berada dalam satu garisan lurus, dan warna langit belum cerah lagi. Namun, ia bukan warna langit malam. Itulah waktu fajar."

Nikmat Tuhan mana satukah kita dustakan?

Waida Yusof,
2 Mei 2011
Royal Brunei Airlines.
BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop