Pages

Showing posts with label Buku kanak-kanak. Show all posts
Showing posts with label Buku kanak-kanak. Show all posts

Apr 25, 2015

Sayang Diri Sendiri Itu Satu Pilihan


"Hidup kita punya dua sisi,
Baik atau buruk,
Cantik atau hodoh,
Berjaya atau gagal."


Orang kampung memanggilnya, "Si Garuda Kenit."

"Kita perlu memberi nama kepada anak yatim ini. Mulai hari ini, kita akan memanggilnya Si Garuda Kenit," beritahu ketua kampung garuda kepada penduduk kampung.

Begitulah cara si Garuda Kenit mendapat nama.

---

Setiap hari Cikgu-Mama memberinya makan cacing dan minum air. Jika masih kelaparan, Si Garuda Kenit akan mencari pula cacing di dalam tanah. Walaupun begitu, selepas tiga tahun, saiz badan Si Garuda Kenit tetap sama. Badannya tetap kenit seperti namanya, sehingga ada garuda menuduh Cikgu-Mama tidak menjalankan tugasnya. Justeru, semakin berkuranglah kasih sayang Cikgu-Mama yang sedikit itu.
---

Kasihan Si Garuda Kenit. Sudahlah badannya kenit dan tidak tinggi-tinggi, sayapnya pula seperti sirip ikan. Hanya paruh merah dan cakarnya serupa garuda-garuda lain.
---

Sedikit sedutan dari buku "Little Garuda: Sayap ataupun Sirip".

Lima (5) tahun berkecimpung dalam dunia terjemahan dan penulisan, buku "Little Garuda: Sayap ataupun Sirip" adalah buku paling dekat dalam hati saya.

Buku ini sebenarnya mengingatkan saya tentang kisah pari-pari Ugly Duckling dan filem Penelope ini.

Sebuah kisah yang boleh menjadi antara manual hidup apabila kita merasakan kita berada dalam situasi yang tidak memenangkan kita.

Adakah itu hal yang sebenar-benarnya, atau hanya perangkap ilusi yang wujud dalam diri kita sahaja?

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC, dapatkan harga sempena pesta buku, tetapi secara online!

Beli di sini dan dapat potongan diskaun sebanyak 50 peratus (selagi stok masih ada).

Waida Yusof,
25 April 2015
Sarawak

PS: Karya ini sebenarnya berasal dari Thailand, cetusan inspirasi dongeng klasik rakyat Thailand. Mengikut kepercayaan orang Thailand, garuda adalah binatang separuh burung dan separuh manusia. Garuda mempunyai status yang tinggi, justeru, ia selalu menjadi lambang atau simbol diraja.

PSS: Oh ya, penulis asal buku ini bernama Khoy Nuj.

Mar 29, 2015

30 Tips Menulis Untuk Kanak-Kanak

"Tulis karya bukan kerana suka-suka, tetapi kerana kita betul-betul percaya tentang hasil karya sendiri."

Kredit Foto: Publishers' Perspective

"Malah, mungkin kita segan, tidak yakin dan takut karya ditolak pada awal-awalnya. Namun, percayakan diri kamu sendiri dan lakukannya (tulis) dengan yakin."

"Itulah kualiti pertama bagi bertemu penerbit dan memberitahu mereka, "Ini karya saya. Apa pandangan Tuan?"

Itu antara petikan kata-kata dari Tuan Grégoire Solotareff, penulis dan pelukis buku kanak-kanak dari Perancis dan sudah menghasilkan lebih 200 buah karya selama 30 tahun.

Ketika sambutan 50 tahun Penerbit l’école des loisirs’ di Perancis, ada 30 tips yang dikongsikan beliau:-

30 Tips Menulis Untuk Kanak-Kanak

1. Tulis karya yang belum wujud lagi di pasaran.

2. Idea mesti original.

3. Tulis karya yang membuat kanak-kanak mahu buka, selak dan selak lagi muka surat seterusnya.
4. Fikirkan idea, kemudian cipta rangka cerita.

5. Buku untuk kanak-kanak adalah gambar dan teks yang membantu gambar.

6. Tulis dengan ayat mudah. Tidak semestinya mudah dari segi kosa kata, tetapi ayat itu membantu kanak-kanak menyelami cerita.

7. Idea boleh datang dari mana-mana sahaja. Bezanya, ada momen "Ah-ha!" yang buat kita bersemangat mencipta cerita itu.

8. Semua idea pun boleh dikembangkan asalkan kita ingat pembaca cerita kita adalah kanak-kanak.

9. Buku kanak-kanak yang berkesan adalah buku yang juga menarik minat semua orang. 

10. Cerita untuk kanak-kanak adalah versatil. Ia boleh jadi cerita untuk anak-anak kita juga.

Antara karyaTuan Grégoire Solotareff.
Kredit Foto: Little Linguist

11.Idea cerita itu menarik minat kanak-kanak.

12. Buku bukan semata-mata berlandaskan ilustrasi yang cantik.

13. Teknik bukan segala-galanya - boleh dilatih dan ditekuni lagi. 

14. Sedar dan perasan dari mana sumber ilham kita. Orang tidak berminat dengan penghasilan semula karya sedia ada. Jadilah diri sendiri.

15. Karya itu sifatnya peribadi.

16. Jangan terburu-buru berkarya. Selepas selesai, biarkan selama 15 hari. Selepas itu, tengok semula dan betulkan.

17. Apabila berjumpa penerbit, tunjukkan karya yang sudah siap, walaupun akhirnya karya itu akan dibetulkan semula.

18. Karya yang siap menjawab soalan penerbit adakah penulis itu komited dengan karya sendiri.

19. Apa-apa objek atau binatang boleh menjadi watak dalam karya untuk kanak-kanak. Batu pun boleh.

20. Apa yang penting tentang watak adalah persoalan bagaimana kanak-kanak itu dapat melihat diri mereka dalam watak itu.

Nama tajuk buku ini "A cat is a cat".
Kredit Foto: Renaud Bray

21. Watak dalam karya adalah sebahagian dari sebuah dunia yang ditumpahkan melalui gambar, gambar dan gambar.

22. Dunia dalam karya adalah sebahagian daripada diri penulis. Itu yang membuatkan orang mahu membaca dan terus membaca karya kamu.

23. Sebagai pengkarya, letak niat berkongsi dunia kamu dengan pembaca melalui karya. 

24. Misteri di sebalik sesebuah karya bukan semata-mata dibuat dengan betul. Ia adalah cermin kepada kehidupan peribadi pengkarya.

25. Kegagalan itu lebih penting dari kejayaan. Gagal membuat kita menyoal diri sendiri dan membetulkan langkah kita seterusnya.

26. Perlukah kita tahu menulis dan melukis dengan sempurna untuk berkarya? Banyak karya dalam pasaran yang tidak sempurna tetapi tetap seronok dibaca.

27. Inti utama sesebuah karya adalah cerita itu koheren, iaitu padu dan mantap dari susunan muka surat yang terdiri dari teks dan gambar.

28. Lebih seronok berkarya apabila kita juga penulis dan pelukis kerana karya itu koheren.

29. Karya bagus yang ditulis penulis dan pelukis berbeza, biasanya saling memahami antara satu sama lain.

30. Cari penerbit yang nilai-nilainya kamu suka. Jika kamu suka apa yang penerbit itu suka, biasanya penerbit itu pun suka apa yang kamu hasilkan.

Artikel ini diadaptasi dan diterjemahkan secara bebas dari artikel di Publishing Perspective: Keys To Writing Books for Very Young Readers.

Waida Yusof,
29 Mac 2015
Sarawak

Dec 28, 2014

Menonton Puteri Di Kaca TV

Terbit perasaan yang industri konten kita akan meriah pada suatu hari nanti.

Terutamanya, selepas menonton enam episod mini animasi "Puteri" terbitan Les' Copaque.

Kredit Foto

Memetik sinopsis cerita ini dari laman web rasminya,

"Focus of the story is about five princesses who are sisters. They are each named after different kinds of lime and each possesses her own magical abilities. Their parents, the King and Queen are benevolent rulers. They live in a castle in a peaceful and happy magical kingdom (Kingdom of Limes)."

Maklumat lanjut, boleh dibaca di puterilimau.com.

Lihat pula trailer rasmi siri Puteri ini.



Saya tertunggu-tunggu siri Puteri ini selepas melihat bagaimana pencipta ceritanya menggunakan buah limau bagi mencipta lima watak utama ini.

Bijaksana, pada pandangan saya.

Memanipulasi ciri-ciri khas buah yang dekat dengan jiwa Malaysia.

Cerita antarabangsa, tetapi lokal kontennya.

Misalnya, watak Puteri Limau Bali yang diinspirasikan daripada buah limau bali.

Bali dilukis sedikit gempal berbanding kakak-kakaknya, sesuai dengan buah limau bali yang bersaiz besar. Perhatikan juga warna permata pada tiara yang dipakai Bali.

Warnanya seakan-akan sama dengan warna pada buah limau Bali.

Kemudian, watak Puteri Limau Purut pula sedikit pemalu orangnya kerana ada parut di wajahnya. Mari kita sama-sama google gambar buah limau purut.

..
...
....
.....
......


Rupa-rupanya, kulit buah limau purut ini sedikit menggerutu.

Nampak perkaitannya? :)

Baiklah, laman web ini ada menyiarkan perbezaan kebanyakan jenis buah limau dalam siri Puteri ini, terutamanya buat mereka yang tidak tahu apa bezanya buah limau nipis dan buah limau kasturi (seperti saya).

Bagi yang tertinggal kapal terbang, sempat lagi menonton siaran ulangan pada 3 Januari, Sabtu depan jam 5 petang.

Waida Yusof,
28 Disember 2014
KL

PS: Barulah saya faham kini, mengapa kawan saya bertanya, siri Puteri yang ditayangkan di TV3 itu samakah seperti buku Pengembaraan Empat Puteri?

Oct 9, 2014

#Update Stokin Biru Mat Biru - 41 hari

Dek menghidap sakit nombor satu orang kota, update 76 hari terus lompat menjadi 41 hari. Namun syukur, saat-saat cemas sudah berlalu.

Sudah tamat zaman sibuk-sibuk melayout, membetulkan ilustrasi, mengubahsuai teks, menyediakan teks BM ke dalam Bahasa Inggeris dan lain-lain perkara lagi selepas operasi melukis.

Paling penting, ketahuilah yang cerita Stokin Biru Mat Biru sudah siap! ^_^v

Kaver Buku Stokin Biru Mat Biru. Insya Allah, pesanan akan dibuka tidak lama lagi

Terima kasih atas usaha cemerlang Tuan Ilustrator & Cik Penulis Bersama yang bersama-sama menyiapkan manuskrip pertama dalam siri Mat Biru ini. Juga kepada Tuan Ejen Literari dan Puan Guru Higher Order Thinking Skills (HOTS).

Baiklah, itu hanya satu dalam berpuluh-puluh siri cerita yang dirancang bersama Cik Penulis Bersama.

Jadi, kami sudah pun memulakan usaha untuk manuskrip kedua dalam siri Mat Biru.

Sekeping gambar ini sebagai teaser.

Cuba teka apa yang Mat Biru sedang buat?

Jika buku pertama Mat Biru tentang ke'gila'an Mat Biru kepada stokin birunya, apa pula cerita Mat Biru dalam buku kedua? ;)

Waida Yusof,
9 Oktober 2014
KL

May 25, 2014

#Update Manuskrip BBKK

"Apa yang mudah itulah yang paling sukar"

Saya mengakui kata-kata ini.

Menulis buku bergambar kanak-kanak (BBKK) bukan tugas calang-calang walaupun hanya sebaris teks pada sebuah mukasurat.


Inilah ayat pembuka kata paling "seksi" saya pernah jumpa :)

Sekarang, saya dan penulis bersama, Nadhirah sedang berhempas-pulas menyiapkan dua tiga buah manuskrip serentak selepas Stokin Biru Mat Biru.

Tulis, semak, tulis semula, semak, tulis semula, semak, tulis baru, semak, tulis semula...

Proses berulang-ulang yang tidak habis-habis di antara saya dan Nadhirah.

Malah, Nadhirah juga menguji teks yang ditulis itu kepada adik-adiknya.

Semua itu kerana impian kami mahu memberikan #cerita yang terbaik kepada pembaca.

Moga Tuhan mudahkan urusan kami.

Amin, amin!

Waida Yusof,
25 Mei 2014
KL

PS: Terpujuk hati sebentar ketika terbaca tentang tiga stail belajar, terutamanya stail ketiga iaitu "Jumper".

"Jumpers are late bloomers They have greatness thrust upon them. For years they may appear not to be moving forward or progressing. They may even seem to be going backward. They may practice and practice but to no avail. Although it may seem that they are not learning, they are. What goes in eventually comes out. With enough observation of others playing the piano, with enough listening to music and enough practice, they just starting playing one day."

Contoh jumpers adalah Albert Einstein.

Apr 21, 2014

Kuasa Menulis Cerita Kanak-kanak

Minggu ini mengulangkaji isi daripada buku 'The Writer's Guide to Crafting Stories for Children'.



Kata Nancy Lamb, penulis buku ini pada awal buku,

"It is a privilege to write books. And it is especially a privilege to write books for children. Don't let anyone ever tell you that writing for children is a lesser art."

Itu prinsip pertama menulis buku cerita kanak-kanak.

Yakin dan percaya menulis buku cerita kanak-kanak adalah satu penghormatan tertinggi. :)

Kata Nancy Lamb lagi,

"When you write a book for a child, you give him or her words - you give a voice to the voiceless. You open new worlds, introduce new ways of thinking and lift that child closer to the light. This is the power and purpose of story. And this is the gift that the storyteller can give."

Itulah kuasa sebuah cerita kanak-kanak.

Waida Yusof,
KL
21 April 2014

Feb 9, 2014

Apa Itu Buku Bergambar Kanak-kanak (BBKK)?

Dahulu, saya sering tertanya-tanya mengapa buku tanpa tulisan ini lebih mahal dari buku bertulisan?

BBKK bertajuk "DogFish" tulisan Gillian Shields & ilustrasi oleh Dan Taylor

Malah, lagi kurang tulisan, lebih mahal pula buku ini. 0_o

Selepas berkenalan dengan cikpuan Fazeila pada tahun 2012, baru saya memahami bagaimana mahu menggunakan Buku Bergambar Kanak-kanak (BBKK).

Sejak itu, saya lebih meminati BBKK pula berbanding buku bertulisan biasa.



Selamat berkenalan dengan dunia BBKK!

Waida Yusof,
9 Februari 2014
KL

Feb 3, 2014

Projek Penulisan Terbaru - BBKK

Kalah lagi kepada kemahuan mahu menulis di sini lebih kerap -_-

Baru-baru ini, berguru dengan cikpuan Fazeila Isa, ilmu menulis Buku Bergambar Kanak-kanak (BBKK) atau Picture Book.

Kredit entri dari Facebook Tuan Zamri Mohamad.



Waida Yusof,
5 Februari 2014
KL

PS: Di dalam gambar, cikpuan Fazeila berkongsi bagaimana "storyboarding" dilakukan ketika membangunkan BBKK.

PSS: Cikpuan Fazeila juga ada berkongsi ilmu HOTS (Higher Order Thinking Skills) bagi kanak-kanak. Dapatkan maklumat lanjut di kursuspenulisan.com

Nov 21, 2013

Kaitan Langit dan Buku

Saya mencintai langit dan isinya.



Bintang-bintang, bulan dan warna-warna pada langit. Malah, langit itu seolah-olah sebuah kanvas besar ciptaan Tuhan sehingga seringkali saya selitkan #cerita tentang langit atau bintang ke dalam karya.

Misalnya, dalam buku Pengembaraan Empat Puteri, saya selitkan fungsi bintang sebagai penunjuk arah. Semuanya gara-gara terinspirasi dengan kata-kata seseorang.

Kata dia, "Tahukah awak tiga bintang sederet itu selari dengan arah ke Kaabah?"

Waida Yusof,
KL
21 Nov 2013

PS: Nama tiga bintang sederet itu adalah Alnitak, Alnilam dan Mintaka. Menarik bukan?

PSS: Insya Allah, sebuah lagi buku tulisan saya akan diterbitkan. Ceritanya tentang Puteri Elis yang bercita-cita menjadi seorang ahli kaji bintang :)

Apr 26, 2011

Cerita Pari-Pari Islami

Kisah pari-pari apakah yang sering bermain di fikiran kita?

Kredit Gambar: The Independent

Hari ini, saya terbaca posting seorang rakan (selepas diterjemah) yang disalin dari Aidlie,

"Apakah anak-anak akan mendengar bicara kita saat mereka membaca kisah-kisah ini. Tarzan pemakai baju separa, Cinderella yang pulang lewat malam, ditambah pula Pinocchio suka berbohong. Ada lagi kisah Aladin yang mengambil hak orang, juga Batman bak pemandu kereta laju di rali. Tidak lupa juga perihal Snow White yang tinggal bersama 7 lelaki."

Lalu, pilihan kita ada adalah mencari kisah-kisah yang baik buat generasi baru.

Atau, tuliskannya sahaja!

Waida Yusof, April 2011
Penulis Fantasi Kembara

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 masih berlangsung di PWTC. Dapatkan buku "Menjadi Penulis Hebat: Langkah Demi Langkah" sempena stok masih ada.

Apr 17, 2011

Menjadi Diri Sendiri

Kelmarin, saya menonton filem Penelope, kisah seorang wanita bangsawan bermuka khinzir. Dia dilahirkan sebegitu akibat terkena sumpahan sejak turun-temurun ke atas moyangnya.

Kredit Foto: Thelovelylemon.blogspot.com

Sumpahan itu menyebut, "...sumpahan ini akan jatuh kepada anak perempuan pertama lahir dalam keluarga ini. Ia hanya akan hilang apabila dia disayang tanpa taranya oleh kaumnya sendiri..."

Lalu, bagi merungkai sumpahan itu, ibunya mencarikan jodoh buat Penelope tanpa henti-henti. Ibunya percaya, apabila Penelope berkahwin dengan Prince Charming keturunan bangsawan, wajah Penelope akan menjadi manusia semula.

Lelaki "bangsawan" dan Penelope bermain catur di antara cermin.
Akhirnya, mereka sama-sama menemui "diri" mereka sendiri.
Kredit Foto: Rebecca F. Bernstein

Kemudian, mereka pun hidup bersama, happily ever after...
Adakah begitu pengakhirannya?

Sebenarnya, perkara yang berkesan dalam hati saya, adalah bagaimana akhirnya Penelope bertukar menjadi manusia semula. Jawapannya, tetap ada dalam diri Penelope, dan juga mesej keseluruhan filem ini, iaitu...

"Bahagia itu datang apabila kita gembira menjadi diri kita sendiri."

Serentak itu juga, saya terfikir, kisah "The Ugly Duckling", sebuah cerita pari-pari lama dahulu ditulis Hans Christian Andersen. Bagaimana kalau kita ceritakan semula kisah ini, dengan akhirnya, anak itik itu masih seekor itik, bukan swan? Tentunya, itik yang gembira menjadi seekor itik.

Waida Yusof
Penulis Fantasi Kembara
April 2011

Apr 9, 2011

Ilham Menulis

Bilakah ilham menulis itu datang?

Tip yang saya pelajari, ilham itu datang dari sekeliling kita.

Dalam buku Pengembaraan Empat Puteri (akan terbit oleh PTS), latar Hutan Misteria diinspirasikan daripada taman yang saya lalui setiap hari.

Sebahagian daripada pokok yang melatari taman ini
Jadi, mari kita buka mata seluas-luasnya dan lihat bola-bola "ilham" itu di sekeliling kita sahaja!

Waida Yusof,
Penulis Fantasi Kembara,
April 2011