2 Mei 2011, London.
Kami melangkah keluar daripada stesen tube Charing Cross dengan bergaya (baca: tanpa bagasi). Melintasi jalan, kami terus bertemu Trafalgar Square, sebuah kawasan lapang awam, yang di"huni" tugu binatang dan manusia. Misalnya, tugu Major Jeneral Sir Henry Havelock ini.
| Tugu Sir Henry Havelock |
(Sumber: Wikipedia)
Di sini jugalah, saya bertemu orang berpiket secara aman, sambil diperhatikan polis. Kagum juga melihat semangat mereka, kerana sanggup memasang khemah di Trafalgar Square ini. Orang sekeliling pula langsung tidak hairan dengan piket-piket seperti ini.
| Berpiket di hadapan National Gallery |
| National Gallery |
Di luar, saya temui seorang lelaki yang asyik melakar sesuatu di hadapannya. Begitu asyik, hingga langsung tidak sedar saya curi-curi merakam gambarnya. Mungkin ada sesuatu pada dinding National Gallery ini yang diminatinya.
| Impiannya menjadi pelukis mungkin? |
Ta-da! Pintu Pejabat Tourism Malaysia rupa-rupanya.
Sayangnya, pejabat mereka ditutup pula kerana cuti awam. Maka, terlepas peluang melihat pejabat Tourism Malaysia di London.
| Pejabat Tourism Malaysia |
Kalaulah mereka tahu, kami juga pelancong seperti mereka, bukan penuntut Malaysia di kota metropolitan ini. Nampak gayanya, lagak kami seperti orang tempatan itu berjaya. Tips penting diamalkan ketika mengembara jalanan.
Matahari mulai tegak di kepala. Walaupun terik, namun, cuacanya "sedap". Suhu pada waktu ini, sekitar berbelas-belas darjah, serupa berada di dalam bilik berpendingin hawa. Kemudian, berpusing-pusing dua tiga jam melihat peristiwa Changing Guards, terpelik-pelik melihat orang ramai beratur panjang di Westminster Abbey, dan melihat Istana Buckingham dari luar pagar, sebelum perut berbunyi nyaring.
Walaupun menu makanan tengahari kami ringkas, makan harus seperti orang tempatan juga. Maka, berpikniklah beramai-ramai di Royal Garden, sebuah taman tidak jauh daripada Istana Buckingham.
Menunya sekadar dua paket biskut, seorang sebotol air mineral berperisa, kerepek segera Walkers berharga 69 pence, dan, coklat. Cukup buat mengalas perut (dan menjimatkan wang poket), sebelum menikmati makan malam.
| Menyertai orang lain berpiknik beramai-ramai di Royal Garden |
| Terjumpa kit menanam salad di kedai hardware |
| Kedai-kedai ini mempunyai basement! |
| Hampir semua buku siri pertama tulisan Enid Blyton ada di sini |
| Edisi pertama Noddy |
Walaupun seperti tidak mahu keluar daripada kedai ini, kami tidak boleh berlama-lamaan di sini. Lewat petang nanti, tren di Liverpool Street akan membawa kami ke jeti Harwich International.
Di sana, tepat jam 11.45 malam, feri mula menyeberangi lautan digeruni, North Sea, supaya kami tiba di Belanda dengan selamat!
Waida Yusof, 11 Sept 2011