Pages

May 14, 2012

Filosofi Penterjemah

Sudah 7 hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012 melabuhkan tirainya.

Namun, tetaplah ada sesuatu yang saya pegang kejap dalam hati. Terngiang-ngiang sehingga kini, kata-kata Puan ini. Sungguh, kata-kata ini berbisa dan berbekas di hati.

Kongsi Puan Azlin, "Karya asal dan terjemahan itu, biarpun berbeza kata-kata, namun, pemahamannya tetap serupa."

Benar sekali. Kata-kata yang mencerahkan saya sendiri tentang beza karya asal dan karya terjemahan.

Waida Yusof,
13 Mei 2012

Apr 21, 2012

Travelog Eropah 11: Tiga Lelaki Muslim Itu

Saya cenderung sependapat dengan Aleah.

Perjalanan itu memberi makna dengan siapa kita berjumpa dan berpisah sepanjang perjalanan itu.

Ia juga mengingatkan saya kepada tiga lelaki Muslim yang kami temui di Brugge, Belanda. Ketika itu, saya, Shawn dan Fidah berkelana di Eropah selama dua minggu.


Berbasikal di atas batu bundar ini ada cabarannya tersendiri!

Lelaki Muslim Pertama


Diambil daripada laman webnya - www.brugesbikerental.be

Jujurnya, namanya saya lupa. (Memang itulah kelemahan saya). Dia mengusahakan kedai sewa basikal di Brugge. Tergerak hati kami ke sini sebaik melihat harga sewanya yang murah. Harga sewaan 10 Euro sehari itu masih dikira murah berbanding kedai-kedai lain.

Takdir Tuhan jugalah menemukan kami dengan dia, lelaki dari Palestin ini. Terfikir juga saya ketika bertemu dia, apakah dia sudah lama menetap di sini, atau "melarikan" diri ketika di sana dirundung malang?

Lelaki Muslim Kedua

Entah mengapa, saya mengingati nama lelaki pendiam ini. Mungkin kerana dia bersungguh-sungguh membaiki rantai basikal yang saya sewa. Entah berapa kali cubaannya, sebelum akhirnya, saya mendapat basikal lain sahaja.

Namanya Muhammad dan berketurunan Afrika. Sebenarnya, daripada dialah, saya tahu, rakannya (Lelaki Muslim Pertama) itu juga muslim. Dia rakan seusaha lelaki muslim pertama saya temui itu. Mereka berdua sama-sama mengusahakan kedai basikal itu.

Dan, pertemuan kami dengan kedua-dua lelaki muslim ini membawa kami kepada Lelaki Muslim Ketiga.

Lelaki Muslim Ketiga


Lelaki ini dan keluarganya berasal dari Mesir.

Masih terbayang-bayang di kepala saya, bagaimana dia bercerita kepada kami, "Isteri saya di atas bersama anak-anak. Saya tukang masak dan juga pelayan di sini," sambil tersenyum.


Lelaki itu di belakang kaunter.

Dia mengusahakan sebuah restoran bercirikan Mesir dan halal di Brugge. Taip sahaja "Academiestraat 6, Brugge, Belgium" di Google Maps.

Syukur kepada Tuhan, sedap makanannya berbanding semangkuk Maggi dan sup Campbell yang kami jamah malam sebelumnya. Asalkan ada yang halal dan harganya mampu milik, kami sudah bersyukur.

 
Secawan teh lemon hangat manakan sama rasanya dengan semangkuk Maggi.

Waida Yusof,
April 2012

Mar 15, 2012

Travelog Eropah 10: Secawan Coklat Hangat Di Brugge, Belgium

Coklat.

Kata orang, "Coklat itu penawar duka."

Kata saya, "Coklat itu sedap. Memakannya satu kenikmatan nyata."

Dan, saya temui erti coklat sebenar di Brugge, Belgium.

Deretan kedai coklat menjual coklat buatan tangan.



Bersarapan pagi diiringi coklat ketul di samping minuman coklat hangat.



Minum semangkuk besar susu panas dikacau bersama ketul-ketul coklat.





Benar-benar seperti apa ditulis pada kain rentang di hadapan kedai mereka.

"The Place To Be To Drink The Best Hot Chocolate." - Tempat Terbaik Minum Coklat Hangat.



Ternyata, memang minuman coklat terbaik di Brugge!

Waida Yusof,
Mac 2012

PS: Selepas ini, turutan entri Travelog Eropah ini tidak akan mengikut turutan :) Sebaliknya, ia akan mengikut teknik KJ Metod.

PSS: Banyak baiknya berkawan dengan seorang pengembara seperti tulisan wanita Filipina ini.

Jan 4, 2012

Hari Rabu Tanpa Nama Pertama

Terpengaruh dengan entri posting Husna Adnan setiap kali Rabu menjelma. Maka, ini Wordless Wednesday (Hari Rabu Tanpa Nama) pertama  saya.



Jan 3, 2012

Tips Penulisan Buku Kanak-Kanak

Dua minggu berhempas pulas menyiapkan manuskrip tauhid kanak-kanak. Alhamdulillah, ia sudah siap dan dihantar kepada ketua projek semalam.

Sesi kepeningan dengan manuskrip sendiri @_@

Dan, kerja keras kami terasa berbaloi-baloi, sebaik menerima emel menggembirakan daripada editor petang tadi.

Sebenarnya, mahu berkongsi maklumat berharga daripada tim projek ini, iaitu, Cikpuan Nur Nasim. Perkara ini saya perolehi ketika berbincang dengannya. Dia, sebenarnya, berkelulusan pendidikan kanak-kanak, jadi, input daripada cikpuan manis ini sangat berharga. Antaranya,

Gunakan deskripsi serupa bagi watak

Katakan, nama watak utama kita adalah Elis.

Lalu, kita akan menggunakan kata ganti diri Dia.

Namun begitu, adakalanya, kita juga menulis Elis sebagai anak Pak Samad, kakak Harun, kawan Laila, dan lain-lain lagi.

Risiko menggunakan deskripsi di atas, ia mungkin mengelirukan kanak-kanak, apatah lagi, jika ia berbeza. Ia juga berkaitan dengan konsep pengulangan kepada kanak-kanak :)

Kesimpulan saya dapat, cara terbaik adalah menulis Elis sebagai dia dan satu deskripsi sahaja.

Waida Yusof,
Jan 2012

Jan 1, 2012

Angan-angan Tahun Baru

Petang terakhir 2011 ini, saya penuhi dengan adegan kemas-mengemas barang. Mahu tutup cerita sebaiknya pada penghujung tahun ini, dan terjumpa pula papan putih ini.



Tiba-tiba, papan putih ini sudah bertukar fungsi. Sebenarnya, membelinya tahun lepas bagi mencatat kerja-kerja penting penulisan. (geleng kepala)

Mula berangan mahu membeli sekeping peta dunia besar dan ditampal di dinding. Kemudian, meletak magnet-magnet ini mengikut negara.

Satu pelajaran geografi yang baik juga buat anak-anak :)

Angan-angan itu percuma sahaja!

Waida Yusof,
1 Jan 2012

PS: Selamat tahun baru! Saya doakan rakan-rakan mencapai cita-cita kalian pada tahun 2012 ini. Amin!

PSS: Ada satu cita-cita besar dalam tahun 2012 ini. Moga-moga Allah lorongkan jalannya. Amin!

Dec 10, 2011

Travelog Eropah 9: Brugge

4 Mei 2011

"Saya dapat mendengar kamu bertiga dari jauh!" Hans (pemilik rumah tumpangan kami di Brugge) berlawak dengan kami. Dia setia menunggu kami (biarpun kami terlajak dan tersesat) di pintu hadapan selepas Fidah SMS kepadanya pagi tadi ketika dalam perjalanan.


Tidak kami nafikan, bunyi dua bagasi beroda di atas jalan berbatu buntar (cobble stone) seperti di bawah memang bingit bunyinya!


Kami mengikut Hans masuk ke dalam rumah bernama Maison De La Rose itu. Rupa-rupanya, rumah tumpangan itu juga rumahnya. Dia tinggal bersama keluarganya di situ. Bilik-bilik tetamu semua di tingkat dua dan tiga. Kagum juga apabila mengenangkan ada 4 buah bilik tetamu di rumah itu. Bahagian keluarga pula di tingkat bawah dan mengunjur ke belakang. Semuanya terpisah dengan sebuah langsir berat umpama langsir merah teater itu. Ia umpama sebuah banglo bertingkat tiga! Itu pandangan saya.

Semuanya milik Hans

Petang itu, suasana dalam rumah tumpangan itu sepi sahaja. Hans membuka cerita, "Anak saya tiada di sini petang ini. Ibu saya baru mengambilnya semalam."

Kami hanya mengangguk sahaja. Entah kenapa. Fikir saya, mungkin dia terasa kami hairan apabila rumah itu terlalu sunyi.

Terpikat dengan koleksi buku di perpustakaan Hans

Dia membawa kami naik ke tingkat atas. Jenis tangga berpusing pula tangga ke tingkat atas itu. Gigih juga mengangkat bagasi masing-masing ke tingkat atas. Ada masanya bagasi sandang belakang lebih bagus!

Di tingkat atas, dia menunjukkan kepada kami, buku-buku di tepi tingkap, sebelum menuju bilik kami. "Itu buku-buku panduan pelancong buat kegunaan kamu. Semuanya percuma sahaja. Selepas digunakan, letak sahaja semula di situ!"

Fikir saya, "Lelaki ini betul-betul tuan rumah yang bagus."

Syukur kepada Tuhan, bilik yang disewakan kepada kami memang selesa. Ia juga luas dan paling penting, ada WiFi percuma di sini. Perasaan tidur di bilik itu, umpama menumpang tidur di rumah kawan. Ada juga perasaan seperti berada di IKEA buat seketika.

Kredit Foto: Active Hotels

Kemudian, dia terus mengajak kami ke dapur di tingkat bawah. Dia mengeluarkan sehelai kertas siap bertaip dan mengambil sekeping peta Brugge. "Ini panduan buat kamu bertiga. Saya sudah senaraikan semua tempat menarik di sini. Rujuk sahaja peta dan panduan ini." Hans senyum.

Tidak setakat itu, dia terangkan pula kepada kami satu per satu perkara di dalam panduan itu. Dia juga memberitahu kami perkara-perkara yang harus kami jaga, supaya tidak tertipu.

Hans benar-benar tuan rumah yang hebat dan jujur.

Banyak perkara saya dapat belajar daripada perwatakan lelaki Brugge ini, terutamanya, apabila saya mahu membuka rumah homestay saya sendiri suatu hari nanti. Amin.

Waida Yusof,
10 Disember 2011