Aug 4, 2011

Travelog Eropah 3: Pagi di London

2 Mei 2011, London, Pagi.

"Shawn, saya masih tidak percaya kita sudah sampai di sini...." Kata-kata itu saya ulang-ulang kepada rakan baik sebaik kami keluar ke aerobridge menuju Terminal Antarabangsa Heathrow, London.

Heathrow sibuk tetapi tenang. Tiada tanda-tanda ketegasan Heathrow kelihatan, walau kepala menjeling ke sana sini. Teringat pula kisah rakan sepejabat mengelak mendarat di Heathrow, walaupun mahu ke Scotland. Katanya, "Heathrow terkenal dengan pelbagai pantang larang!"

Walau apapun, yang penting, biskut dan sambal ikan bilis kami selamat!

Namun, sempat pula staf Heathrow menegur Shawn bagi menjawab soal selidik lapangan terbang ini.

Langsung tube dinaiki bersama bagasi besar dari stesen Heathrow. Lengang dan tiada orang. 2 Mei itu Bank Holiday, cuti gantian sempena cuti Hari Buruh 1 Mei.


Tube dari Hammersmith lengang kerana masih awal pagi. Gambar diambil sekitar jam 8.30 pagi.

Kata Shawn, "Apabila orang Barat bercuti, memang bersungguh-sungguh. Cuti dihabiskan di rumah, bukan di kedai-kedai."

Hari pertama kami kembara di Eropah, tiada tujuan tertentu. Pergilah ke mana sahaja, asalkan kami sempat menaiki tren waktu petang dari Liverpool Street ke jeti feri di Harwich International, utara London.

Lokasi pertama kami tuju adalah Paddington, kerana kata ayah, "Di situ banyak kedai makanan halal!"

Sepanjang perjalanan ke pusat bandar, rumah-rumah bergaya Inggeris penuh di kiri kanan. Semakin dekat dengan bandar, deretan kedai pula memenuhi jalan.

Beria-ia mengambil gambar kedai sekeliling dek teruja!
Gambar diambil ketika berjalan dari stesen tube ke stesen tube seterusnya.
Gambar stesen tube Hammersmith dari luar.
Kami tiba di Paddington, selepas bertukar-tukar beberapa laluan tube. Laluan terus ke Paddington ditutup kerana kerja-kerja penambahbaikan tube pada cuti umum.

Paddington ini sebuah hab stesen keretapi ke arah barat London, rupa-rupanya.

Sibuk mengambil suasana dalam Stesen Keretapi Paddington.
Begitu semangat, sehingga gambar kedai roti juga diambil. 
Dari Paddington, kami merancang berjalan kaki di luar. Sebaik tiba di muka pintu, terus ia dibatalkan. Angin dingin meng"gigit" kuat. Mungkin sekitar 16 darjah waktu itu, atau, kurang.

Akhirnya, kami menaiki tube sahaja.
Kedai buku di dalam stesen tube.
Menunggu tube datang di Paddington tube.
(Nota: Paddington tube tidak sama dengan Paddington Station, walaupun nama lokasinya serupa.)
Inilah rupa logo tube. Cari logo ini jika mahu menaiki tube.

Teman backpacking saya.
Dari Paddington, kami turun pula di Charing Cross bagi menyimpan bagasi. Caj menyimpannya sehingga petang adalah 8.50 pound, hampir 40 Ringgit Malaysia. Uhuk! (Bandar ini memang pandai mengambil duit daripada pelancong seperti kami...)

Pandangan luar Stesen Charing Cross
Bersambung dalam post seterusnya, "Petang di London". 


Waida Yusof, Ogos 2011

No comments:

Post a Comment