Nov 13, 2011

Travelog Eropah 8: Belgium 1

Ketika kursus penulisan anjuran DBP dan PEN 13-14 November tempoh hari, satu pesanan ringkas (tetapi mahal, uhuk!) daripada Puan Nisah, "Habiskan cerita travelog itu!" Baiklah, Puan Nisah!
Mungkin, saya harus tulis pendek-pendek, namun, kerap.

4 Mei 2011

Sesungguhnya, perjalanan kami di Bumi Eropah baru bermula.


London (A) - Amsterdaam (D) - Brugge (E)

Jam 11.58 tengahari itu, keretapi kami meluncur laju meninggalkan Amsterdaam Centraal menuju Brussels Midi bagi ke Belgium. Perjalanan menggunakan pas Eurail Benelux (gabungan nama tiga negara, iaitu Belgium, Netherlands dan Luxemborg) bermula kembali.

"Selamat tinggal, Amsterdaam...(bersama-sama terusannya itu dan bot DHL itu)."

Ini benar-benar tanda DHL itu lokal di setiap tempat ia beroperasi.

Tekadku, mahu kembali ke sini lagi. Cita-cita mahu melihat bunga tulip langsung belum tertunai. Masa sesingkat satu hari setengah sememangnya tidak cukup melewati ke seluruh kota warisan UNESCO ini. Namun, kos mengatasi segala-galanya. Masa dua minggu itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan kos yang efektif.

Destinasi kami seterusnya adalah Brugge. Ia adalah sebuah kota warisan UNESCO juga. Malah, kata petugas di Shelter Jordaan, "Brugge memang cantik!" Impiannya juga mahu ke Brugge suatu hari nanti.

Bruges adalah ejaan dalam Inggeris dan Perancis. Brugge adalah ejaan dalam Dutch.

Belgium berjiran dengan Belanda, sebagaimana Malaysia berjiran dengan Singapura. Namun, memasuki Belgium dari Belanda lebih mudah. Sejak Kesatuan Eropah (Europian Union / EU) diwujudkan di antara 27 negara, rakyat bebas memasuki mana-mana negara di bawah kesatuan itu tanpa paspot.

Oh ya, UK bukanlah sebahagian daripada EU ini. Maknanya, paspot hanya dicop ketika kami memasuki Belanda tempoh hari. Tiadalah bukti di dalam paspot, kami pernah menjejak negara-negara Eropah ini. (u__u)

Dalam perjalanan, kami mengubah sedikit laluan perjalanan. Waktu sudah petang, maka, kami akan terus ke Brugge dan tidak singgah di Brussels. Inilah mudahnya menggunakan pas keretapi tiada had seperti ini, biarpun membayar lebih.

Stesen keretapi Antwerpen Centraal

Tiba di stesen Antwerpen Centraal dan terus teringat lagu flash mob "Do Re Mi" daripada filem Sound of Music!


Burung merpati sinonim dengan dunia Barat.

Menunggu keretapi seterusnya pula bagi membawa kami ke Brugge.

Tiket keretapi kelas pertama menggunakan pas perjalanan Eurail

Akhirnya, kami tiba di Brugge sekitar jam 4 petang lebih.

Misi seterusnya adalah mencari rumah tumpangan kami, Maison De La Rose. Pemiliknya, Hans, seorang bekas psikologis tentera sudah menunggu kami!

Kelakar pula apabila mengenangkan kami terlepas perhentian kami, iaitu, Markt. Begitulah cabaran menaiki bas awam bagi berjalan-jalan. Apatah lagi, kami tidak memahami bahasa ibunda (bahasa Inggeris tidak begitu berguna di Eropah). Namun, itulah kenangan manis. Sekali lagi, konsep tiket menggunakan had masa menyelamatkan keadaan.

Jika setiap kali pun kami terlepas perhentian dan harus membayar 2 Euro (=RM8) ketika menaiki bas, sudah tentu haru, bukan?


Biarpun terlajak dan menunggu bas seterusnya, sempat lagi mengambil gambar.

Maison De La Rose setia menunggu kami, biarpun sudah lewat petang.

Waida Yusof,
13 Nov 2011

4 comments:

  1. Salam Waida,
    Pendek tapi berkesan (atau banyak gambar) juga masih lagi satu daripada cara terbaik untuk menulis travelog ini. Lebih lambat disiapkan, lebih banyak perkara-perkara kecil yang kita mungkin terlupa.

    Terus menulis! (Dan, saya tetap mengikutinya, :-) )

    ReplyDelete
  2. Salam Kak Nisah,

    Benar sekali! Rasanya, saya lebih sesuai menulis pendek-pendek daripada panjang sekaligus.

    Terima kasih kerana setia mengikuti travelog ini!

    Ya, saya juga setia menunggu cerita travelog Kak Nisah ditulis ;)

    ReplyDelete
  3. Salam,

    Saya pun akan setia menunggu cerita travelog ini sampai habis. :) Saya pun merindui Belgium yang pernah saya kunjungi bertahun-tahun yang lalu.

    Tahniah :)

    ReplyDelete
  4. Salam Puan Azlin ;)

    Wah, wah! Terima kasih :D

    Sebenarnya, walaupun baru dua tiga hari di sana, saya juga merindui Brugge itu, terutamanya, air coklat di sana... Sungguh nikmat...

    ReplyDelete