Sep 11, 2011

Travelog Eropah 4: Hari Pertama di London

Oh, sebulan rupanya tidak menyambung travelog ini. Maafkan saya! Travelog ini adalah sambungan daripada Travelog Eropah 3, dan sebelum berlakunya Travelog Eropah 5.

2 Mei 2011, London.

Kami melangkah keluar daripada stesen tube Charing Cross dengan bergaya (baca: tanpa bagasi). Melintasi jalan, kami terus bertemu Trafalgar Square, sebuah kawasan lapang awam, yang di"huni" tugu binatang dan manusia. Misalnya, tugu Major Jeneral Sir Henry Havelock ini.

Tugu Sir Henry Havelock
Memikirkan apakah relevan tugu ini di sini, terjawab dengan kontroversi pada tahun 2003 ini. Datuk Bandar London, Ken Livingstone meminta tugu ini ditukarkan dengan tugu yang lebih relevan.
(Sumber: Wikipedia)

Di sini jugalah, saya bertemu orang berpiket secara aman, sambil diperhatikan polis. Kagum juga melihat semangat mereka, kerana sanggup memasang khemah di Trafalgar Square ini. Orang sekeliling pula langsung tidak hairan dengan piket-piket seperti ini.

Berpiket di hadapan National Gallery
Lupakan orang berpiket dan menuju ke National Gallery, yang masih di kawasan sama.

Ia sebuah galeri seni yang menghimpunkan lebih 2,300 lukisan. Sesuai sekali dengan pencinta seni lukisan zaman lampau.

National Gallery
Bayaran masuknya percuma sahaja. Maka, cubalah saya menghayati lukisan-lukisan di sini sebaik mungkin (-___-). Hanya berkesan buat sementara waktu. Ternyata, kehidupan orang di luar bangunan ini lebih menarik perhatian.

Di luar, saya temui seorang lelaki yang asyik melakar sesuatu di hadapannya. Begitu asyik, hingga langsung tidak sedar saya curi-curi merakam gambarnya. Mungkin ada sesuatu pada dinding National Gallery ini yang diminatinya.

Impiannya menjadi pelukis mungkin?
Berjalan-jalan lagi, dan tiba di hujung Trafalgar Square. Tiba-tiba, kawanku menunjukkan sesuatu di seberang jalan.

Ta-da! Pintu Pejabat Tourism Malaysia rupa-rupanya.

Sayangnya, pejabat mereka ditutup pula kerana cuti awam. Maka, terlepas peluang melihat pejabat Tourism Malaysia di London.

Pejabat Tourism Malaysia
Apabila di luar negara, gembira sakan bertemu apa sahaja perkataan Malaysia. Sebagaimana sekumpulan pelancong Malaysia menjerit kecil sesama mereka, "Eh, ada orang Malaysia!" tatkala bertemu kami di luar pos berkawal pasukan diraja Britain.

Kalaulah mereka tahu, kami juga pelancong seperti mereka, bukan penuntut Malaysia di kota metropolitan ini. Nampak gayanya, lagak kami seperti orang tempatan itu berjaya. Tips penting diamalkan ketika mengembara jalanan.

Matahari mulai tegak di kepala. Walaupun terik, namun, cuacanya "sedap". Suhu pada waktu ini, sekitar berbelas-belas darjah, serupa berada di dalam bilik berpendingin hawa. Kemudian, berpusing-pusing dua tiga jam melihat peristiwa Changing Guards, terpelik-pelik melihat orang ramai beratur panjang di Westminster Abbey, dan melihat Istana Buckingham dari luar pagar, sebelum perut berbunyi nyaring.

Walaupun menu makanan tengahari kami ringkas, makan harus seperti orang tempatan juga. Maka, berpikniklah beramai-ramai di Royal Garden, sebuah taman tidak jauh daripada Istana Buckingham.

Menunya sekadar dua paket biskut, seorang sebotol air mineral berperisa, kerepek segera Walkers berharga 69 pence, dan, coklat. Cukup buat mengalas perut (dan menjimatkan wang poket), sebelum menikmati makan malam.

Menyertai orang lain berpiknik beramai-ramai di Royal Garden
Sebelah petang, kami menyusuri pula kedai-kedai di kawasan berhampiran stesen Charing Cross. Sebaik angin dingin mula menggigit tubuh, cepat-cepat kami masuk ke kedai dan berpura-pura mahu membeli. Tips yang amat baik diamalkan ketika berada di negara bermusim sejuk (n__n)

Terjumpa kit menanam salad di kedai hardware
Penemuan terhebat hari itu adalah bertemunya sederet kedai buku antik! (^__^)

Kedai-kedai ini mempunyai basement!
Perasaan menemui buku edisi pertama penulis kegemaran, Enid Blyton, seperti berada di awangan. Jika bukan tiada orang (rajin) menjaganya, sudah tentu saya sambar sebuah buku itu sebagai kenang-kenangan. Maka, saya biarkan sahajalah buku-buku itu ter"jaga" di kedai. Ketika itulah, baru saya ketahui, kartun Noddy itu, rupa-rupanya, berasal daripada buku dan ditulis Enid Blyton.

Hampir semua buku siri pertama tulisan Enid Blyton ada di sini

Edisi pertama Noddy
Baiklah, apakah itu buku edisi pertama? Ia buku cetakan pertama dikeluarkan penerbit. Buku penulis tersohor seperti Enid Blyton sudah dicetak berkali-kali (mungkin sudah berjuta-juta), lalu, edisi pertamanya sudah bertahap antik!

Walaupun seperti tidak mahu keluar daripada kedai ini, kami tidak boleh berlama-lamaan di sini. Lewat petang nanti, tren di Liverpool Street akan membawa kami ke jeti Harwich International.

Di sana, tepat jam 11.45 malam, feri mula menyeberangi lautan digeruni, North Sea, supaya kami tiba di Belanda dengan selamat!

Waida Yusof, 11 Sept 2011

No comments:

Post a Comment