Jul 24, 2011

Travelog Eropah 2: Leaving On A Jet Plane Bahagian 2

Sambungan dari entri Leaving On A Jet Plane Bahagian 1.


1 Mei 2011: Bahagian 2


Saya sentiasa percaya, ketika kembara, pasti banyak perkara tidak dijangka berlaku. Maka, siap siaga sahaja dan gembirakan diri melaluinya. Tentu sahaja ada perkara baik Tuhan tentukan buat kita. Hanya kita masih belum matang memahami erti di sebaliknya.

Penerbangan kami panjang sifatnya.

KL - Bandar Seri Begawan, Brunei = 2 jam++
Brunei - Dubai, UAE = 8 jam++
Dubai - London, UK = 7 jam++

Hampir 17 jam berada dalam kapal terbang semata, belum dicampur jam menunggu dan berurusan di lapangan terbang. Jika bukan kerana kami terbang dari Timur ke Barat, kami tidak mendapat semula hari yang hilang itu. Maka, kami bertuah kerana semuanya berlaku dalam 1 Mei tahun 2011 lagi.

Penerbangan 1: Kuala Lumpur - Brunei

Kapal terbang kami naiki ini saiznya sedang-sedang sahaja. Ia serupa perjalanan dari KL ke Sabah atau Sarawak. Jujurnya, tidak banyak perkara saya ingat, kecuali, melihat insiden ditegur pramugari supaya menegakkan kerusi ketika waktu makan. Terkesima dan kagum dengan ketegasan pramugari itu. Saya fikir, pramugari itu beretika tinggi dan sering melebihkan orang lain.

Gambar Hiasan.
 Contoh Pramugari Royal Brunei Airlines
Kredit Foto: worldscrews.blogspot.com
Apa saya lebih ingat, adalah bagaimana kami berlawan dengan masa di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Sebaik mendarat jam 8.10 malam di sana, kami punya masa kurang 40 minit, sebelum pesawat kami seterusnya berlepas ke Dubai.

Inilah keseronokan menjadi pengembara Muslim. Ke mana pun kita bebas pergi, asalkan tidak lupa bersolat. Dalam ruang singkat itu, kami harus melunaskan himpunan dua solat, iaitu, Maghrib dan Isyak.

Alhamdulillah, sekadar cukup-cukup sahaja kesempatan masa bersolat dan melakukan pemeriksaan sekuriti sekali lagi. Biarlah menjadi penumpang terakhir menaiki pesawat, asalkan kami tetap ke Dubai dan London!

Penerbangan 2: Brunei - Dubai - London


Menaiki penerbangan Royal Brunei Airlines (RBA) ke London, saya menyangka ia dipenuhi rakyat Brunei, seperti lazimnya penerbangan MAS. Rupa-rupanya, ia meleset. Hampir 80 peratus, ia dipenuhi penumpang berkulit putih. Bilangan kulit Asia seperti kami, dapat dibilang dengan jari.

Perkara tidak dijangka pertama, apabila kerusi Shawn terletak jauh daripadaku dan Fidah. Perkara tidak dijangka kedua, saya juga akhirnya duduk sendiri-sendiri sepanjang perjalanan. Pertukaran di dalam pesawat boleh sahaja berlaku, dan ia berlaku ketika seorang bapa duduk berjauhan daripada isteri dan anak-anaknya yang masih kecil.

Usai makan, pramugari itu mendekati saya dan bertanya, "Mohon bertanya. Mahukah Cikpuan berpindah ke kerusi belakang?"


Maka, kami bertiga tetap sendiri-sendiri dalam penerbangan panjang ini.

Menjelang tengah malam waktu tempatan, pesawat kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, UAE. Sayang sekali, tempat bernama Dubai ini kami sempat melihat bandar udaranya sahaja.

Walau tengah malam, ia tetap penuh dengan orang. Banyak sekali orang tidur dan duduk-duduk menunggu penerbangan mereka, seolah-olah waktunya bukan tengah malam. Sekali imbas melihat, mereka mungkin orang Filipina atau Indonesia yang mencari makan di Dubai.

Apa pun, perkara menarik di sini, adanya WiFi percuma!

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, UAE tidak lengang
walaupun di tengah malam. 

Kagum melihat nombor terminal tiga digit.

Membeli di sini, harus ada mawatang Dinar atau Dolar US.
Jika tidak, cuci mata sahaja!


Satu jam setengah kemudian, naik kapal terbang sekali lagi...

London, kami datang kepadamu!


Bersambung: Travelog Eropah: Hari Pertama di London


Waida Yusof, Julai 2011


BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

No comments:

Post a Comment