Jun 22, 2011

Hijab Bahasa

"Khabarnya, orang di Paris tidak suka berbahasa Inggeris?"

Saya senyum mendengar pertanyaan rakan sepejabat dan mengangguk.

"Sewaktu saya di Jerman tempoh hari, orang di sana juga begitu. Ada satu ketika, sedang kami menaiki tren, konduktornya datang menyapa saya dan kawan-kawan. Sesiapa yang melihat kami bertiga waktu itu, sekilas sahaja sudah tahu kami ini orang mendatang."

Saya menyambung cerita lagi,"Kami membalas sapaannya di dalam Bahasa Inggeris. Namun, adakah beliau membalas kata-kata kami di dalam Bahasa Inggeris juga? Langsung tidak. Selamba sahaja beliau bercakap dalam bahasa ibundanya."

Wajah rakan saya mulai "ketat".

"Bagi orang Eropah, Bahasa Inggeris hanya salah satu bahasa yang mereka perlu pelajari. Selain Bahasa Inggeris, banyak lagi pilihan subjek bahasa asing mereka. Italiana, Jerman, Spanish, Perancis dan macam-macam lagi."

Saya mengulang kata-kata lelaki Macedonia yang saya temui di Praha, Ceska Republika, kepada rakan.

"Usah gusar. Bahasa hanya satu alat berkomunikasi. Tanpanya, kita masih dapat menyampaikan maklumat. Malah, adakalanya lebih jelas berbanding ketika kita dapat berkata-kata. Asalkan tahu perkataan-perkataan ringkas dalam bahasa mereka, kita akan "survive" juga, Insya Allah."

Lantas, saya teringat peristiwa bertemu lelaki pertengahan usia, yang bisu dan pekak di rumah Puan Guru baru-baru ini.

Saat itu, saya seakan mahu ketawa melihat cara kami menggayakan mesej kami kepada beliau. Malah, beliau juga bersungguh-sungguh mahu berkomunikasi dengan kami, walaupun tanpa kata-kata.

Nah, siapa kata tanpa bahasa, kita tidak dapat berkomunikasi.

Waida Yusof, 22 Jun 2011.

Nota: Walaupun dia bisu, dia masih dapat bertanya sama ada saya sudah berkahwin dan bertunang. Soalan yang saya juga tiada idea bagaimana melakonkannya, jika ditakdirkan suatu hari nanti nikmat bersuara sudah ditarik Tuhan.
 BlogBooster-The most productive way for mobile blogging. BlogBooster is a multi-service blog editor for iPhone, Android, WebOs and your desktop

No comments:

Post a Comment